SIBU: Seramai 20 penghuni asrama Sekolah Menengah (SM) Citizen di sini, menempuh detik cemas apabila bangunan dua tingkat jenis separuh kekal itu musnah dalam kebakaran, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata semua penghuni membabitkan seorang guru bersama dua anaknya, lapan pelajar lelaki serta sembilan pelajar perempuan tinggal di tingkat atas bangunan berkenaan.
Beliau berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentral Sibu dikejarkan ke tempat kejadian sebaik pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, 7.40 pagi tadi.
“Setibanya di lokasi, didapati api marak di tingkat atas bangunan itu yang menempatkan asrama, manakala tingkat bawah bangunan itu pula dijadikan dewan makan.
“Ketika kejadian itu, semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Beliau berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran itu pada 8.15 pagi dengan menggunakan sumber air daripada jentera.
“Kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.40 pagi dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – Berita Harian