“Suara pejuang-pejuang mahasiswa sudah tidak kedengaran. Bayangpun sudah entah ke mana. Saya rindu anda semua”.
Demikian sindiran terbaru bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya, sekali lagi mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Kali ini bekas presiden Umno itu memfokuskan pelbagai bantuan pendidikan yang diberikan kerajaan BN tetapi kini dipotong kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
“PTPTN kita tak perlu sebutlah, sebab bukan setakat ditipu, lebih sengsara dengan dasar mereka kini,” katanya merujuk pemotongan gaji dua hingga 15 peratus terhadap peminjam PTPTN yang berpendapatan RM1,000 ke atas.
Menurut Najib kerajaan HARAPAN sebelum ini menguar-uarkan belanjawan mereka sebagai ‘paling besar’, namun sebenarnya tidak banyak manfaat diperoleh ibu bapa, pelajar dan guru.
“Mereka (HARAPAN) beria meninggi hidung umumkan Bajet 2019 adalah ‘paling besar’,”
“Ya, ‘paling besar’, tapi apa sebenarnya yang ibu bapa, pelajar dan guru dapat?”
“RM250 subsidi pendidikan seperti Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) atau KADS1M, tidak disebut.
“Rasanya kini tiada lagi. Kita tunggu menteri buat u-turn,” katanya.
BB1M diperkenalkan ketika Najib menjadi perdana menteri, dengan seramai 1.3 juta pelajar pra-universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara boleh memohon baucer bernilai RM250.
Bantuan itu juga didebitkan ke dalam Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) yang diselaraskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui agensinya, Bank Rakyat.
Najib turut menyenaraikan beberapa potongan perbelanjaan lain seperti bantuan makanan prasekolah (dipotong sebanyak RM10 juta), bantuan makanan asrama (dipotong RM100 juta), biasiswa kecil persekutuan untuk murid-murid (dipotong RM28 juta), peruntukan biasiswa perguruan persekutuan (dipotong RM6.5 juta) dan bonus penjawat awam daripada RM1,500 kini tinggal RM500.
“Mungkin murid-murid dan guru termasuk dalam golongan ‘rakyat Malaysia yang tak patut diberi bantuan dan subsidi sebab malas’ seperti kata kerajaan PH”.
Beliau dilihat merujuk kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mengatakan subsidi hanya membuatkan seseorang tidak ‘mampu berfikir dan tidak boleh berdikari’.
“Kerajaan BN dulu merangka bajet berdasarkan keperluan rakyat. Kami ikhlas nak beri dan bantu.
“Sekarang habis semua mereka potong. Bajet ‘paling besar’ konon,” tambahnya.-Malaysiakini