KUCHING – Meninggalkan Barisan Nasional (BN) yang tidak lagi disukai memang mudah, tetapi adakah semudah itu juga untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diterima baik oleh rakyat Sarawak?
Satu lagi persoalan ialah mampukah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang membentuk GPS, mewujudkan sebuah gabungan politik baharu yang diterima sepenuhnya oleh para pengundi di Sarawak pada pilihan raya negeri yang perlu diadakan menjelang 2021 nanti?
Itulah persoalan yang timbul dan disuarakan banyak pihak, walaupun secara umumnya, rakyat Sarawak faham kenapa PBB, SUPP, PRS dan PDP memutuskan hubungan dengan BN, kata penganalisis politik, Datuk Peter Minos.
“Rakyat melihat tiada erti dan gunanya lagi untuk berada bersama-sama dengan BN, terutama UMNO setelah kedua-keduanya ditolak rakyat Malaysia dan terdedahnya pelbagai dakwaan tentang perbuatan salah laku, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Minos, kini, rakyat Malaysia, termasuk di Sarawak, berasa jijik dan jelek terhadap BN.
“Keyakinan serta rasa hormat terhadap BN sudah tiada lagi. Oleh itu, keputusan rakyat Malaysia yang mampu berfikir dengan sewajarnya untuk meninggalkan BN, bukan sahaja memang sudah diduga, malah ditunggu-tunggu,” katanya sambil menjelaskan bahawa langkah PBB, SUPP, PRS dan PDP berbuat demikian adalah perkara biasa dan sememangnya sesuatu yang wajar.
Minos berkata kini tibalah masanya pula untuk berusaha agar GPS serta perjuangan dan objektifnya diterima sepenuhnya oleh rakyat Sarawak, di samping mencari jalan bagaimana caranya untuk memastikan simbol serta rancangannya tertanam kukuh di dalam minda rakyat Sarawak dan bagaimana untuk memadam kenangan buruk berkaitan BN.
“Tidak terlalu mudah, tetapi boleh dan perlu dilakukan, lebih cepat, lebih baik. Kelewatan dalam memastikan GPS didaftarkan secara rasmi dan kelewatan dalam menghebahkan serta menyebarluaskan idea serta konsep GPS akan menyebabkan sesuatu yang kini mendapat sambutan hangat akan bertukar menjadi dingin,” kata Minos, yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan bekas timbalan ketua publisiti PBB.
Beliau berkata adalah suatu langkah dan cara yang cukup berkesan bagi memperkenalkan GPS kepada rakyat Sarawak sekiranya pakatan itu dilancarkan para pemimpinnya sendiri dan secara serentak turut mengisytiharkan bahawa mereka akan terus berjuang dengan penuh bersemangat agar kuasa dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan sepenuhnya kepada negeri ini dengan secepat mungkin.
Di samping itu, kata beliau, mereka perlu mengisytiharkan bahawa sumber minyak dan gas Sarawak akan dikembalikan kepada negeri ini menjelang 1 Julai tahun ini seperti yang telah ditetapkan.
Menurut Minos, isu penting lain seperti menyelesaikan perkara berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), menyediakan kemudahan asas untuk golongan miskin di luar bandar, mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah pendapatan, mencipta peluang perniagaan secara menyeluruh, kembali kepada penggunaan bahasa Inggeris serta menambah baik bidang pendidikan dan sebagainya, perlu dilaksanakan.
“Saya berpendapat, itu merupakan langkah permulaan yang baik dan berkesan bagi GPS. Selamat maju jaya kepada GPS kerana GPS perlu berjaya demi kebaikan Sarawak dan rakyatnya,” kata beliau.
Rabu lepas, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan keputusan empat parti itu meninggalkan BN setelah bersama selama 45 tahun.
Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah dibincang secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik semasa di negara ini selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei.- BERNAMA