KUCHING: “Kita yakin BN (Barisan Nasional) akan menang PRU14 ini,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengulas kenyataan beberapa pemerhati politik menjangkakan BN berdepan cabaran getir mengekalkan 133 kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas.
Abang Johari mengulang kenyataan “BN menang” itu, selepas berjumpa dan menyerah watikah kepada calon BN Sarawak untuk PRU14 di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Rabu.
Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata walaupun PRU14 turut dijangka sengit untuk BN di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah, beliau yakin BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menang.
Sementara, Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi juga yakin BN menang sekurang-kurangnya 29 daripada 31 kerusi Parlimen pada PRU14 di Sarawak kali ini.
“Saya tidak melihat Putrajaya akan jatuh,” ujar Nanta yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan berkata BN Sarawak akan memberi yang terbaik kepada BN Pusat. –Sarawakvoice
Foto : Bernama