MANCHESTER: David de Gea mahu memberikan komitmen jangka panjang bersama Manchester United, tetapi dia masih menunggu tawaran yang sesuai ketika kontraknya kini sedang dalam proses perbincangan.
Penjaga gol United itu dikatakan berminat untuk kekal di Old Trafford sekaligus menamatkan segala ketidakpastian, selepas sekali lagi terpilih menjadi pemain terbaik perlawanan ketika menewaskan Tottenham Hotspur 1-0 di tempat lawan.
De Gea dijangka akan menerima tawaran kontrak gaji sekitar 300,000 pound (RM1.4 juta), termasuk bonus seminggu berbanding 200,000 pound (RM941,000) ketika ini.
Proses perbincangan antara bintang berusia 28 tahun itu dan United sedang berjalan ketika ini, tetapi masih belum ada sebarang kata putus.
United sebelum ini sudah menyambung kontraknya selama 12 bulan, iaitu sehingga 2020, sekaligus mengelakkannya daripada berhijrah sepanjang jendela perpindahan bulan ini.
Beberapa pemain berlari ke arah De Gea selepas berakhir perlawanan dengan Spurs, Ahad lalu dengan harapan dia akan kekal di United.
“Kami mahu dia kekal di sini. Dia adalah antara penjaga gol terbaik di dunia,” kata Jesse Lingard.
Pengurus sementara United, Ole Gunnar Solskjaer memilih untuk mengekalkan penjaga gol, Emilio Alvarez selepas Jose Mourinho dipecat.
Alvarez yang menjadi mentor De Gea ketika di Atletico Madrid percaya, anak buahnya itu akan memberikan aksi lebih baik.
“Saya tidak rasa De Gea akan berhenti setakat ini saja. Dia boleh menjadi pemain lebih baik,” katanya. – Agensi