Digubah lebih 40 tahun, lagu Puteri Santubong terus jadi siulan 0 6774

KUCHING, 11 Jan : Menjadi siulan ramai sejak lebih 40 tahun lalu, lagu rakyat Sarawak Puteri Santubong terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, namun peminat mungkin kurang perasan siapa penulis lirik dan pencipta lagu tersebut.

Nama Madzhi Johari mungkin kurang menonjol atau tidak dikenali ramai, namun anak kelahiran Sri Aman ini merupakan watak penting di sebalik lagu yang diciptanya sekitar tahun 1974-1975 itu.

Membuka ‘rahsia’ kisah lagu tersebut kepada Bernama, Madzhi berkata rentak dan ritma lagu itu dihasilkan di atas perahu di tebing sebatang sungai semasa beliau dalam perjalanan menuju ke Ulu Limbang untuk membuat tugasan sebagai Kontroler RTM Limbang.

Dedah pesara kerajaan berusia 75 tahun ini, selain menulis lirik dan mencipta lagu tersebut, beliau merupakan penyanyi asal lagu yang kadangkala boleh membuatkan merinding bulu roma mereka yang menyanyi mahupun mendengarnya.

Beliau berkata kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang menceritakan perihal dua puteri cantik pada asalnya berkawan baik namun akhirnya menjadi musuh kerana faktor kecantikan, cerita asli Sarawak yang disampaikan dari mulut ke mulut.

“Semua orang Sarawak tahu dan kenal gunung dalam kisah tersebut. Saya minat kepada sejarah dan ingin cerita lama ini terus dihayati terutama generasi muda, jika tidak apabila orang lama (orang tua) sudah meninggal tidak ada lagi sesiapa yang akan bercerita mengenai kisah ini.

“Saya cuba tulis kisah tersebut dalam bentuk karangan, tetapi saya fikir tidak ramai gemar membaca sebaliknya lebih suka mendengar jadi kenapa tidak saya jadikan cerita itu dalam bentuk irama (lagu),” katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Bertitik tolak daripada itu, Madzhi berkata beliau mula mencari irama yang ‘catchy’ supaya dapat menghasilkan lagu yang boleh menarik perhatian ramai.

“Ada satu hari dalam perjalanan menggunakan perahu ke Ulu Limbang, kami berhenti di tebing sebuah sungai yang airnya mengalir deras. Di situ saya ‘humming rhythm’ dengan dibantu desiran ombak sungai mencari ‘tune’ lagu tersebut, saya ulang beberapa kali, ingat dan terus hafal.

“Apabila bertugas sebagai Timbalan Pengarah Radio RTM Sarawak di Kuching sekitar 1976, saya teruskan mencari irama ‘catchy’ untuk menghasilkan lagu tersebut. Dibantu ayah, adik beradik serta adik ipar kami berjaya menyiapkan lagu itu sebelum dirakam oleh Bahagian Muzik RTM Kuching,” katanya yang juga mahir memetik gitar.

Madzhi berkata lagu tersebut mula meraih populariti lebih luas selepas bekas Menteri Penerangan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat mencadangkan supaya lagu rakyat daripada semua negeri dikumpul seterusnya disiarkan hampir setiap hari menerusi saluran radio dan televisyen RTM.

“Sekitar tahun 90-an, Tok Mat memilih beberapa lagu mewakili setiap negeri seperti Puteri Santubong, Boria, Joget Pahang, Seri Mersing, Johor, Jambatan Tamparuli serta beberapa lagu lain. Ketika ini rakaman perlu dibuat sebaik-baiknya, seorang penyanyi wanita dipilih untuk menyanyikan semula lagu Puteri Santubong ini,” katanya yang bersara sebagai Pengarah Bahagian Program Radio, RTM Angkasapuri.

Menurutnya selepas itu lagu Puteri Santubong bersama lagu rakyat lain semakin diminati ramai menyaksikan sebuah jawatankuasa dibentuk dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Allahyarham Tan Sri Dol Ramli untuk mengumpul lagu-lagu rakyat Malaysia.

“Satu fakta menarik ialah hampir semua lagu rakyat tidak diketahui siapa pencipta atau penulis liriknya, kecuali saya untuk lagu Puteri Santubong dan Joget Pahang yang digubah oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee untuk filem Hang Tuah. Ketika lagu-lagu rakyat Malaysia ini dikumpul pula hanya saya komposer yang masih hidup.

“Malangnya sewaktu pelancaran koleksi lagu-lagu rakyat tersebut, saya tidak dijemput. Saya tidak salahkan sesiapa kerana mereka pun tidak tahu siapa pencipta dan penulis lagu tersebu,” katanya masih menerima pembayaran royalti untuk lagu Puteri Santubong dan satu lagi lagu rakyat Sarawak iaitu Pak Tambang hingga kini.

Hampir 37 tahun menetap di Semenanjung, Madzhi mengakui lagu Puteri Santubong meniti populariti namun ‘watak penting’ di sebalik lagu tersebut kurang dikenali ramai, ketika ditebak soalan tersebut beliau dengan tenang menjelaskan amat menghargai dan seronok lagu itu terus didendangkan hingga kini.

“Itu bererti cita-cita saya supaya masyarakat tahu kisah legenda ini tercapai. Berdasarkan pemerhatian, saya jumpa hampir 20 versi lagu Puteri Santubong di Internet malahan lagu ini turut pernah didendangkan penyanyi terkenal tanah air,” katanya mengakhiri bicara. -Frontdesk.com.my

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13148

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 12619

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news