Siapa tahu ketika Dik Wan melakukan lompatan memecah rekod Asia di Sukan Para Asia 2018, lelaki luar biasa itu sedang mengalami kesakitan yang teramat.
Bagi jurulatih para atlet negara, Jaganathan Ramasamy: ” Dua belas tahun saya melatihnya, sudah seperti anak sendiri, ketika itu saya hanya mampu berdoa,”.
Mohamad Ridzuan Puzi yang membahasakan dirinya Dik Wan itu meraih tiga emas pada Sukan Para Asia ‘ acara 100m T36, 400m T36 dan lompat jauh T36.
“Selepas Dik Wan mencatat (rekod baharu dunia) masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekaligus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013, dia (Dik Wan) mengalami kecederaan “hamstring dan groin”, kata Jaganathan.
Dik Wan ketepikan kesakitan, tetap berlari untuk negara dan meraih pingat emas dalam acara 400m lelaki T36 dengan catatan masa 59.36 saat.
“Kecederaan makin teruk, ada urat saraf yang putus, namun pagi semalam, pukul 11.30 pagi, dia ketuk bilik saya, dan berkata mahu juga sertai acara lompat jauh T36.
“Doktor yang memeriksanya menasihatkan Dik Wan supaya tidak sertai acara itu kerana bimbang kecederaannya boleh menjadi semakin teruk, tapi dia tetap mahu bertanding,” katanya.
Jaganathan berkata, tanpa sebarang latihan sebagai persiapan untuk acara lompat jauh, Dik Wan turun ke gelanggang semalam dan berjaya meraih emas.
Malah dia juga berjaya melakarkan rekod baharu Asia dengan catatan 5.49m.
Dik Wan ketika ditemui Bernama dan memaklumkan bahawa kedua-dua ibu bapanya yang sedang menunaikan umrah turut mendoakan kejayaannya di Jakarta, terus sebak.
“Terima kasih mak, ayah (kerana) doakan Dik Wan,” .
– Bernama