
Kuching: Polis berjaya menahan dua daripada enam suspek kes seorang remaja lelaki yang dibelasah di Jalan Macdougall,Kuching selepas dituduh mencuri rokok elektronik pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek ditahan petang semalam susulan laporan polis dibuat mangsa.
Laporan dibuat selepas insiden itu terbongkar apabila rakaman video kejadian yang dirakam oleh salah seorang suspek tular di media sosial.
“Mangsa pada jam 8 pagi hari kejadian telah dipanggil oleh dua daripada suspek ke belakang sebuah hotel dan dia telah dituduh mencuri rokok vape milik salah seorang daripada mereka.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengaku menyebabkan seorang daripada suspek bertindak memukul dan menendang mangsa.
“Semasa kejadian, terdapat empat lagi suspek yang bertindak menghasut supaya bergaduh.
“Seorang daripada suspek bertindak merakam segala aksi tersebut dan kemudian ditularkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Awang Din berkata, usaha menjejaki empat lagi suspek kini giat dijalankan.
“Kita minta mereka ini segera menyerah diri dan sesiapa yang mengenali mereka juga boleh menyalur dan memberikan maklumat kepada polis,” kata Awang Din.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.- Utusan Borneo Online