TURIN, Itali: Manchester United melakar kemenangan 2-1 ke atas Juventus pada saingan Liga Juara-Juara awal pagi tadi menerusi sepakan percuma lewat permainan Juan Mata serta gol sendiri Alex Sandro sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke pusingan kedua.
Bagaimanapun, Cristiano Ronaldo sebelum itu meledak gol pertama buat Juventus pada minit ke-65 pada perlawanan yang awalnya dikuasai mereka.
Skuad bimbingan Jose Mourinho dilihat agak tumpul di bahagian serangan tetapi selepas pengendali dari Portugal itu memasukkan Mata, Marouane Fellaini dan Marcus Rashford pada lewat permainan, United kembali bangkit seperti kebangkitan mereka melakar kemenangan epik 3-2 pada aksi separuh akhir di Turin 1999.
Kebangkitan United itu sekali gus menyekat Juventus untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Juventus masih mendahului sembilan mata dalam Kumpulan H dengan United di tangga kedua mengumpul tujuh mata, lebih dua mata berbanding Valencia di tempat ketiga.
Ia kunjungan pertama United ke Juventus di stadium baru sekali gus mengingatkan kembali pertarungan epik antara dua pasukan gergasi itu yang pernah dianggap terbaik di Eropah.
Dominasi Juventus di Old Trafford dua minggu lalu memperlihatkan perbezaan antara mereka dengan United. Malah dalam saingan domestik Juventus kini di tangga teratas Series A manakala United menduduki tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris. – Reuters