KUCHING: GPS tetap akan berjuang sebagai satu entiti, dan tidak akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional walaupun pakatan berkenaan menang besar dalam PRK Parlimen Tanjung Piai Sabtu lalu.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman berkata, ia tidak menggoyah pendiriannya untuk tetap tidak menyertai BN.
GPS yang ditubuhkan pada 12 Jun tahun lalu keluar daripada BN selepas perikatan berkenaan gagal menguasai Putrajaya dalam PRU-14 pada 9 Mei 2018.
“Bagi saya, PRU-14 ada hikmahnya. Tanpa PRU-14, kita tidak akan menubuhkan GPS. Apabila anda berada dalam organisasi besar sebegitu, ia sentiasa memerlukan persetujuan bersama,” katanya merujuk kepada gabungan 14 parti komponen itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan acara TEDx Kenyalang 2019, di sini, Ahad.
“Jadi kita nak ‘berkokok’ pun tak dapat.. sekarang kita boleh ‘berkokok’ sendiri. Kini mereka pula terpaksa mendengar cakap kita,” katanya lagi.
Jelasnya, GPS dapat bekerjasama sama ada dengan PH atau BN yang menjadi kerajaan Persekutuan, tetapi kerjasama itu perlu diusahakan oleh pihak berkenaan, bukan GPS.-SarawakVoice