LONDON: Jaringan solo menakjubkan Eden Hazard melengkapkan kebangkitan mengagumkan Chelsea apabila menang 2-1 di Liverpool manakala Tottenham terselamat menerusi penentuan penalti untuk mengalahkan Watford pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi.
Drama di Anfield mencuri tumpuan apabila Chelsea muncul pasukan pertama mengalahkan Liverpool musim ini.
Anak buah Juergen Klopp menang tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan dan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu semakin hampir meraih kemenangan kelapan apabila jaringan mengagumkan Daniel Sturridge membantu mereka mendahului pada minit ke-58.
Namun Emerson Palmieri menyamakan kedudukan buat Chelsea pada minit ke-79 sebelum bintang Belgium, Hazard merobek benteng Liverpool untuk menyumbat gol kemenangan lima minit sebelum tamat.
Ia kebangkitan menakjubkan anak buah Maurizio Sarri, memberikan mereka momentum terbaik menjelang aksi Liga Perdana antara dua kelab itu di Stamford Bridge, Sabtu ini.
Chelsea kini di tangga ketiga, dua mata di belakang Liverpool selepas permulaan tanpa kalah musim ini.
Klopp berkata: “Saya fikir gol pertama ofsaid. Mereka melihatnya dan tidak berasakan ia ofsaid. Kami terpaksa menerimanya. Ini persiapan baik bagi aksi Sabtu ini tapi kami perlu bertahan dengan lebih baik.”
Tottenham yang tidak mempunyai gelanggang tidak mengendahkan suasana di sekeliling apabila menumpaskan Watford selepas seri 2-2 di Stadium MK.
Pasukan kendalian Mauricio Pochettino bermain di halaman sendiri di Wembley ketika gelanggang baru mereka masih belum siap namun kerana stadium kebangsaan tidak boleh digunakan selepas perlawanan tinju Anthony Joshua Sabtu lalu, mereka terpaksa meminjam padang Milton Keynes Don.
Tottenham ketinggalan apabila penyerang Nigeria, Isaac Success meledak 40 saat selepas rehat. Kekasaran Christian Kabasele terhadap Delle Ali pada minit ke-82 menyebabkan pemain gantian Watford itu dibuang padang dan penalti buat Tottenham.
Alli sendiri menyempurnakan sepakan penalti itu sebelum Erik Lamela meletakkan Tottenham di depan empat minit kemudian.
Etienne Capoue menyamakan kedudukan pada minit ke-89 namun penjaga gol Tottenham, Paulo Gazzaniga menyelamatkan dua sepakan ketika penentuan penalti.
Kemudian Alli, diberi tugas sebagai kapten ketika dia kembali ke kelab yang mana dia memulakan kariernya, menjaringkan penalti penentu kemenangan. – AFP