SIBU: Identiti lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan hari ini sudah dikenalpasti.
Mereka ialah Gelunsin Sugi, 44, isterinya Alfreda Do, 33, dan tiga anak mereka iaituAnnatasia Ulas, 15, Camilla Angel, 10 dan Richmont Mumin, 4.
Menurut Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu, kemalangan sekitar jam 3.45 petang itu berlaku ketika keluarga tersebut yang dalam perjalanan dari Sibu ke Bintulu, dilanggar dari belakang oleh sebuah lori treler di Kilometer 45 Jalan Sibu-Bintulu.
Katanya, kereta dipandu Gelunsin kemudian melanggar sebuah kereta jenis pikap di depan, dan pikap berkenaan melanggar sebuah lagi kereta.
“Dalam masa yang sama juga, kereta mangsa memasuki lorong di sebelah kanan lalu dilanggar oleh sebuah bas yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat daripada kejadian, kereta mangsatersepit di antara bas dengan treler,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, lima sekeluarga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.Pemandu bas yang cedera ringan serta lima orang penumpang dirujuk ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Borneo Online