KUALA LUMPUR: Terdapat beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) tidak bersetuju dengan cara siasatan dijalankan terhadap mantan perdana menteri termasuk menggeledah kediaman Datuk Seri Najib Razak yang kini menjadi pembangkang di Parlimen.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar berkata siasatan harus berkonsepkan keadilan serta berhikmah.
Di Twitter, Nurul berkicau: “Sebagai bekas mangsa serbuan pada awal pagi, saya mesti tegaskan bantahan saya terhadap penggeledahan pada mana-mana rumah pada waktu yang tidak sewajarnya.
“Lakukan pendakwaan dan siasatan dengan berhati-hati. Prinsip keadilan dan berhikmah sentiasa terpakai,” kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Selain Nurul, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad turut menyuarakan pendapatnya bahawa siasatan memang perlu dilakukan, namun jangan sehingga menyebabkan “kesipuan”.
Beliau bersetuju dengan Nurul, bahawa siasatan tidak perlu memalukan atau melampaui batas.
“Tiada sebab untuk menyiasat sehingga 4 pagi,” kata Khalid yang pernah ditangkap 2.30 pagi.
Anggota Parlimen Subang, Wong Chen pula meminta agar maruah Najib dan isterinya, Rosmah Mansor dipelihara semasa siasatan dijalankan.
Wong turut mengulas foto tersebar di media sosial, Najib tertidur di sofa di rumahnya yang menyentuh hati setengah pihak, dianggap mengaibkan bekas presiden Umno itu. –Sarawakvoice
Foto : malaysiakini.com