KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Fuziah Salleh berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurutnya, peranan, fungsi dan struktur Jakim akan dikaji semula bagi memperkasakan kedudukannya sebagai agensi agama Islam di peringkat Persekutuan supaya menjadikan institusi itu lebih efisien.
“Dalam hal ini, usaha ke arah memperkasa dan memartabatkan Islam dari semua aspek sentiasa diberi keutamaan oleh kerajaan menerusi gerak kerja berterusan dan komprehensif.
“Langkah ini juga selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa sama agama-agama lain dapat diamalkan dengan aman dan damai,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Tan Sri Annuar Muda (BN-Ketereh) meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung tuntutan pembubaran Jakim. – UTUSAN ONLINE.