Jangan terpedaya panggilan telefon minta butiran diri 0 6113

“Sekiranya anda menerima panggilan daripada individu yang mengaku kononnya membuat panggilan dari balai polis, jangan berasa panik atau sama sekali takut.”
Itulah pesanan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Komersil Bahagian Jenayah Siber dan Multimedia Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Datuk Ahmad Noordin Ismail.

Sebaliknya, penerima panggilan berhak mendapatkan maklumat daripada pemanggil seperti balai polis tempat pemanggil bertugas, nama penuh pemanggil, nombor badan (nombor anggota) serta nama dan butiran pegawai atasan si pemanggil.

Langkah ini amat penting bagi mengelakkan penerima panggilan ditipu sindiket ‘tipu panggilan’ yang turut dikenali sebagai ‘Macau Scam’ yang menjadikan penyamaran sebagai anggota polis sebagai ‘modus operandi’ menipu mangsa.

Selain menyamar sebagai anggota PDRM sindiket ini turut menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Ada kalanya panggilan dibuat kononnya mewakili mahkamah ataupun institusi kewangan.

Takutkan mangsa
Lazimnya pemanggil menimbulkan rasa takut kepada mangsa dengan pelbagai cerita palsu seperti mempunyai masalah dengan pihak berkuasa, saman tertunggak, barang import yang atas nama mangsa bermasalah cukai serta hutang pinjaman tertunggak dengan pihak bank.

“Orang kita ini ada sifat ‘gullible’. Mereka mudah percaya asalkan mengaku sahaja dari balai polis, terus percaya,” ulas Ahmad Noordin dalam rancangan ‘Bicara Khas’ terbitan RTM pada pertengahan Oktober lalu.

Mangsa yang ketakutan biasanya tanpa berfikir pandang cuba mengambil jalan singkat untuk ‘menyelesaikan’ masalah yang dimomokkan kepada mereka.

Kesempatan inilah yang diambil sindiket untuk mendapatkan wang daripada mangsa dengan pelbagai cara termasuk meminta mangsa memasukkan wang ke dalam satu akaun yang ditentukan.

Lebih teruk lagi apabila sindiket berjaya memeras maklumat peribadi dan maklumat kewangan mereka sehingga dapat mengambil alih kawalan terhadap akaun bank milik mangsa.

Teknologi VOIP
Antara sebab kebanyakan mangsa menjadi mudah percaya kepada panggilan seperti ini adalah kerana melihat nama atau nombor telefon identiti pemanggil.

Di skrin telefon mereka melihat nama seperti balai polis, nama bank atau nama-nama lain yang bila dipandang sekali imbas, identiti pemanggil yang seakan-akan benar.

“Mereka melakukan ‘spoofing’ menggunakan Voice Over Internet Protocol (VOIP) yang membuat penerima panggilan melihat nombor telefon yang mereka kehendaki di paparan skrin agar penerima panggilan percaya bahawa sesuatu panggilan itu datang dari pihak yang berkuasa seperti polis, bank atau agensi-agensi kerajaan yang lain,” kata Ahmad Noordin.

Menggunakan cara ini, penerima akan merasa yakin bahawa panggilan itu datang daripada badan berkuasa sedangkan ia adalah panggilan palsu daripada sindiket penipuan.

Tegas Ahmad Noordin, masyarakat tidak perlu takut walaupun diasak oleh pemanggil. Walau apa pun kata sang pemanggil, permintaan mereka tidak perlu dilayan.

“Kalau panggilan datang dari (pihak mengaku) polis, anda hanya balas, “saya akan ke balai polis terdekat untuk menguruskan perkara ini”. Polis tidak pernah minta sesiapa pun untuk memasukkan wang atau membuat bayaran melalui mesin ATM untuk sebarang bentuk bayaran seperti saman dan sebagainya,” jelas Ahmad Noordin.

Cakna risiko
Sementara itu, Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM Zulkarnain Mohd Yasin berkata ledakan penggunan internet dan media sosial meningkatkan risiko pengguna teknologi ini kepada aktiviti penipuan.

“Pada dasarnya penyediaan perkhidmatan dan capaian komunikasi adalah supaya penggunaan teknologi dapat perbaiki kehidupan mereka melalui telekomunikasi namun hakikatnya begitulah juga capaian penjenayah siber,” kata beliau.

Ulas beliau, pengguna sendiri harus mempunyai keupayaan menangani teknologi yang terhidang di depan mata.

Antaranya adalah kebijaksanaan penggunaan tetapan, aplikasi dan menu yang selamat dalam telefon pintar milik mereka dan akaun media sosial yang mereka digunakan.

Ada tetapan di telefon yang boleh digunakan untuk menyekat panggilan yang tidak dikehendaki. Ada juga aplikasi telefon pintar yang boleh mengenal identiti pemanggil dan ketahuilah cara menggunakan ciri keselamatan dan mod ‘privacy’ dalam akaun Facebook, Twitter dan Instagram.

Fahami prosedur
Satu lagi perkara yang menyumbang kepada kejayaan sindiket penipuan menjalankan operasi mereka dengan mudah adalah kerana orang ramai sendiri tidak peka dengan prosedur operasi piawai (SOP) badan kerajaan seperti PDRM, LHDN, pihak kastam dan sebagainya.

Kealpaan ini adalah peluang yang digunakan sidiket penipuan untuk memerangkap mangsa.

Perlu difahami, dalam mana-mana prosedur melibatkan transaksi kewangan melibatkan badan kerajaan, tidak ada satu pun yang dibuat menggunakan atas nama akaun peribadi atau serahan tangan melainkan jika ia dilakukan di kaunter rasmi.

Oleh itu, tambah Zulkarnain pada bila-bila masa sekiranya ada orang mengaku membuat panggilan mewakili badan kerajaan sebagai contoh, LHDN dan mengarahkan wang dimasukkan ke dalam akaun yang bukan atas nama LHDN, itu sepatutnya sudah mencetuskan amaran untuk berjaga-jaga bahawa ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku.

Untuk makluman, di peringkat teknikal, syarikat telekomunikasi yang beroperasi di Malaysia berjaya mematahkan cubaan daripada lebih 628 juta panggilan dari dalam dan luar negara yang disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan ini.

Namun masih ada panggilan yang terlepas daripada sekatan ini kerana pihak sindiket juga sentiasa mengubah modus operandi mereka supaya dapat lolos daripada sekatan berkenaan.

Semak kesahihan
Tambah Zulkarnain, amalan menyemak panggilan adalah sesuatu yang tidak lagi boleh diketepikan dalam situasi hari ini. Ia adalah sama dengan konsep ‘tabayyun’ iaitu menyemak kesahihan sesuatu berita, kini masyarakat perlu juga menyemak kesahihan sesuatu panggilan.

Pastinya akan timbul pula soalan, mahu semak dengan siapa?

Bagi Zulkarnain, masyarakat perlu mendekatkan diri dengan pihak berkuasa berhampiran dan organisasi yang menyimpan maklumat kewangan diri mereka sebagai satu tindakan untuk melindungi diri sendiri.

“Adakah kita ada simpan nombor telefon balai polis terdekat di kawasan perumahan kita atau di daerah kita? Adakah kita simpan nombor telefon cawangan bank tempat kita buka akaun kita?

“Inilah antara tindakan yang kita boleh buat agar mudah untuk buat semakan tetapi budaya menyimpan nombor-nombor penting ini jarang diamalkan,” komen beliau.

Dengan sentiasa menyimpan nombor telefon pihak berkuasa dan pihak tertentu, orang awam boleh membuat semakan segera sebaik menerima panggilan yang dicurigai sekali gus mengurangkan risiko atau mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan. – FMT

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13912

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13070

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news