Juventus benam Chievo, Ronaldo gagal sempurnakan penalti 0 5785

MILAN: Cristiano Ronaldo gagal menyempurnakan penalti tetapi ia tidak menghalang pendahulu Serie A, Juventus mengatasi kelab tercorot Chievo 3-0, awal pagi tadi bagi mengembalikan kelebihan sembilan mata di puncak liga.

Pada aksi lebih awal, AC Milan kembali ke landasan untuk memperoleh tiket ke saingan Liga Juara-Juara selepas menang 2-0 ke atas Genoa.

Selepas mengesahkan gelaran pertama Juventus musim ini – trofi Piala Super – buat kali kelapan dengan menewaskan Milan minggu lalu, Ronaldo tampak sedikit lesu di bahagian serangan selepas mengharungi aksi liga pertama sejak rehat musim sejuk.

Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu melepaskan deretan peluang untuk menewaskan penjaga gol Chievo, Stefano Sorrentino termasuk penalti pada minit ke-53.

Begitupun, Juventus merobek gawang Chievo menerusi Douglas Costa dan Emre Can pada babak pertama sebelum melengkapkan jumlah jaringan berpunca tandukan Daniele Rugani enam minit sebelum tamat.

“Saya tidak fikir ia kali pertama berlaku dalam kariernya,” kata jurulatih Juve, Massimiliano Allegri mengulas kegagalan Ronaldo. “Apa yang penting pasukan menang.

“Dia memburu jaringan tapi pada babak pertama dia terlalu kuat berusaha, dia melakukannya dengan lebih baik pada babak kedua. Ia perlawanan yang menyenangkan. Pasukan memperoleh perlawanan yang bagus, satu lagi kejayaan penting untuk perlumbaan meraih Scudetto.”

Chievo memulakan kempen musim ini dengan kekalahan 2-3 kepada Juventus di Verona tetapi menamatkan 2018 dengan kemenangan pertama dan tewas sekali daripada lapan aksi terakhir dengan mengikat Napoli, Lazio dan Inter.

Pemain sayap Brazil, Costa menjaringkan gol pertama Juve seawal minit ke-13 yang juga jaringan pertamanya dalam saingan Serie A musim ini sebelum umpanan Paulo Dybala yang disudahkan Can meletakkan tuan rumah selesa mendahului sejurus sebelum rehat

Juventus dianugerahkan penalti selepas Mattia Bani memegang bola dalam kotak penalti dan Ronaldo melepaskan dua lagi peluang sebelum Rugani menyempurnakan sepakan percuma Federico Bernardeschi untuk memberikan Juventus kekal di landasan merangkul gelaran kelapan berturut-turut Scudetto.

Juventus sudah mengumpul 56 mata daripada 20 perlawanan, kelebihan sembilan mata berbanding Napoli yang menewaskan Lazio 2-1.

Sementara itu, Fabio Borini dan Suso meledak gol lewat bagi membantu Milan bangkit daripada kekalahan kepada Juventus di Arab Saudi untuk melonjak ke tangga keempat Serie A.

Skuad kendalian Gennaro Gattuso kini mengumpul 34 mata daripada 20 perlawanan dan di laluan untuk beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara selepas mengatasi AS Roma dengan kelebihan satu mata. – AFP

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7792

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5406

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news