Menurut isterinya, Julia Bachok, insiden yang menimpa suaminya kali ini amat membimbangkan keluarga kerana ia melibatkan kecederaan yang agak parah apabila tulang rusuk kanan yang retak telah menusuk paru-parunya.

“Buat masa sekarang, Saleem masih lagi ditidurkan kerana badannya belum mampu menerima kesakitan yang melampau akibat tusukan tulang kanan di bahagian paru-parunya.

“Menurut doktor yang merawat, keadaannya stabil tetapi masih belum boleh disedarkan daripada tidur. Saleem mungkin akan berada di hospital kira-kira sebulan tetapi saya berharap dengan berkat doa peminat dan orang ramai, beliau dapat sembuh lebih awal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Julia turut memberitahu bahawa sehingga kini dia dan keluarga masih tertanya-tanya bagaimanakah pelantun Bukan Aku Tak Cinta itu boleh terlibat dengan kemalangan kerana Saleem belum sedarkan diri.

“Jika sewaktu beliau dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman di perut tahun lalu, Saleem masih boleh bercakap dan berbual jadi saya tahu keadaannya macam mana.

“Sekarang kami perlu menunggu luka di paru-parunya sembuh dan suami boleh dibangunkan daripada tidur untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku pada hari kemalangan,” tambahnya lagi. – K! ONLINE