MIRI: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun keatas seorang wanita warga asing kerana kesalahan membuang bayinya.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Suljpah Marsahat mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.20 malam, 30 Mac lalu di kawasan pembuangan sampah kompleks beli-belah Imperial Mall di sini.
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.Dalam kejadian itu, seorang pencari kotak terbuang dikejutkan dengan bunyi tangisan bayi. Dia segera membuka satu bungkusan plastik dan mendapati terdapat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dan bernyawa di dalamnya.
Lelaki terbabit kemudian meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak polisbagi memaklumkan penemuan bayi tersebut. -Utusan Borneo Online