SIBU: Ketua-ketua masyarakat di negeri ini diminta memain peranan penting memastikan anak-anak buah mereka memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapa’ee berkata kemenangan itu sangat diperlukan agar Sarawak mempunyai suara lebih kuat di Parlimen untuk meneruskan usaha mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA 1963).
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan kesediaan kerajaan persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah MA 1963, yang sama ada telah terhakis secara sengaja mahupun tidak sengaja.
“Sebagai ketua masyarakat yang amat dekat dengan pengundi-pengundi (di tempat masing-masing) saya menyeru supaya anda memastikan anak-anak buah turun mengundi dan menyokong calon-calon BN Sarawak.
“Pilihan raya ini amat penting bagi Sarawak dan rakyat negeri ini,” katanya semasa mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UniKL Zon Sarawak di sini hari ini.
Gambar fail
Program dua hari itu disertai 456 ketua-ketua masyarakat dari daerah Song, Bukit Mabong dan Kapit.
Dr Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Nangka mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan kempen-kempen untuk mengubah kerajaan sedia ada kerana ia akan memperjudikan nasib mereka dalam masa lima tahun akan datang.
“Bukan senang nak mengubah kerajaan, ia bukan bahan uji kaji yang boleh dicuba-cuba. Kerajaan sedia ada sekarang ini telah membuktikan keikhlasan, kekuatan dan keupayaan dan ia haruslah dikekalkan demi nasib mereka untuk lima tahun akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata, dengan adanya kepimpinan negeri Sarawak pada masa sekarang yang mempunyai hubungan erat dengan kerajaan persekutuan, semua urusan memohon bantuan termasuk menuntut hak Sarawak di bawah MA1963 dapat dilakukan dengan mudah.
Ia tidak akan dapat dilakukan sekiranya kerajaan negeri tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Borhan Dolah yang mewakili Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi.– BERNAMA