MIRI: Ratusan pelawat mengunjungi Pantai Tusan di sini gempar selepas laluan pejalan kaki dari atas tebing ke pantai runtuh petang semalam.Penduduk serta pengunjung mahu Kementerian Pelancongan melihat keadaan di tempat terbabit serta membina semula lorong pejalan kaki konkrit.
“Hasrat pelawat ingin turun ke pantai tidak kesampaian apabila satu-satunya laluan pejalan kaki runtuh disebabkan hakisan dan ombak besar,” kata seorang penduduk, Yusri Ali.Menurutnya, penduduk menunggu projek dijanjikan kerajaan membina tangga konkrit namun sehingga kini masih belum dilaksanakan.
“Hanya laluan pejalan kaki diperlukan ketika ini kerana pelawat dari atas tebing turun ke pantai melihat struktur batu menyerupai kuda sedang minum air,” katanya.Ahli Jawatankuasa Penjaja Pantai Tusan MansorAntin berkata, fenomena ‘Blue Tear’ serta keindahan pantai itu menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.”Pendapatan penjaja kecil turut meningkat kerana kehadiran ramai pelawat ke sini namun kita mahu kerajaan menaik taraf kemudahan pelancongan di sini,” jelasnya.
Menurutnya, jika kemudahan seperti laluan pejalan kaki konkrit dibina maka jumlah pelawat bertambah terutama pada hujung minggu.”Kita juga mahu kerajaan tempatan mempercepat pemasangan paip air seperti dijanjikan sebelum ini bagi kemudahan pelawat dan penjaja,” katanya.Sementara itu, Sainah Jamil berkata jika Pantai Tusan lengkap dengan kemudahan infrastruktur maka ia akan menarik pelawat datang dan tinggal lebih lama.
“Kita juga memohon lampu jalan dibina di Pantai Tusan bagi menerangi kawasan itu kerana lebih cantik dan indah pada waktu malam,” jelasnya.Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati terdapat beberapa pelawat memberanikan diri turun ke pantai meskipun laluan pejalan kaki runtuh.Keadaan itu turut menyebabkan orang ramai hanya berada di atas tebing serta tidak berani mengambil risiko turun ke pantai.Pantai Tusan sebelum ini terkenal dengan fenomena ‘Blue Tears’ dan beberapa produksi dari China turut membuat filem berlatar belakang pantai tersebut. – Utusan Borneo Online