SARIKEI: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan, sebelum merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan awal pagi tadi.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden berlaku sekitar jam 6.30 pagi tadi di Kilometer 428, Jalan Betong Sarikei Meradong.
“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Legenda sedang dalam perjalanan ke Pekan Jakar di sini dari Rumah Panjang Anggat.
“Malangnya, mangsa hilang kawalan di lokasi kejadian sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Proton Saga yang dalam perjalanan dari Bintulu menuju Betong.
Impak rempuhan tersebut kata Naga Chabu, menyebabkan mangsa terpelanting ke atas cermin besar hadapan kenderaan Proton Saga sebelum terjatuh ke atas rumput di tepi jalan.
“Mangsa mengalami kecederaan yang teruk sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, oleh pasukan paramedik,” katanya.
Pemandu Proton Saga ujarnya, hanya mengalami cedera ringan iaitu lebam pada bahagian bahu dan tangan kiri.
Kes katanya, kini disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Presly Untul Renang, 18 tahun dari
Rumah Sumpun Sungai Selidap, Sarikei. –Sarawakvoice