SIBU: Pada pengundi perlu terus memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) di 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kemenangan besar penting bagi membolehkan Sarawak mendapatkan kembali hak dan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 daripada Kerajaan Persekutuan.
BN Negeri menyasarkan untuk memenangi 28 kerusi pada PRU akan datang. Pada PRU lalu, BN hanya memenangi 25 kerusi dengan semua kerusi majoriti Cina di bandar dimenangi pembangkang.
“Kita mesti bersatu. Kalau kita bersatu orang akan dengar suara kita,”katanya.
Beliau berkata demikian pada seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018 (Bahagian Sibu, Mukah & Kapit) di sini semalam.
Foto : Page Md Ariff Azahari
Sejak menjadi Ketua Menteri pada Januari tahun lalu, Abang Johari terus memperjuangkan hak Sarawak termasuk dari segi minyak dan gas.
Malah, beliau menghantar satu rombongan ke London untuk mengkaji dokumen berkaitan.
Menurut Abang Johari, pada PRU-14 ini BN menampilkan ramai muka baharu sebagai salah satu daripada usahanya untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak.
Daripada 31 calon BN yang akan menentang pembangkang pada 9 Mei nanti, BN menampilkan 15 muka baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib menurut beliau ialah seorang pemimpin yang dapat dibawa berbincang mengenai hak dan kuasa Sarawak.
Namun, kata Abang Johari, rakyat Sarawak perlu bersatu di bawah BN pada PRU-14 bagi merealisasikan usaha mendapatkan kembali hak tersebut. –Sarawakvoice