Menang 2-1, kini Liverpool megah di tempat teratas liga 0 6376

LIVERPOOL: Bintang Liverpool, Sadio Mane menjaringkan satu gol dan memainkan peranan penting dalam satu lagi jaringan ketika mereka kembali merampas kedudukan teratas Liga Perdana dengan kemenangan tipis 2-1 berdepan Fulham, sebentar tadi.

Ia tampak akan menjadi hari yang mengecewakan buat skuad Juergen Klopp selepas jaringan pembukaan Mane disamakan Ryan Babel berikutan kesilapan Virgil van Dijk, tetapi pemain gantian James Milner meledak jaringan menerusi penalti minit ke-81 untuk memungut mata penuh.

Liverpool kini mengumpul 76 mata daripada 31 perlawanan, dua melebihi juara bertahan, Manchester City yang masih berbaki satu perlawanan.

Fulham memiliki 17 mata dan perlu bekerja keras untuk mendaki jika mereka mahu mengelak penyingkiran daripada liga utama.

Pemain Fulham, Jean Michael Seri (kanan) cuba mengasak pemain Liverpool, Sadio Mane dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, London. – Foto EPA

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp (kanan) ucap tahniah kepada pemainnya selepas tamat perlawanan. – Foto EPA
Mane menjaringkan gol kesembilan liga apabila dia meledak jaringan pertama pelawat pada minit ke-26 dengan penamat baik menerusi gaya serangan tipikal Liverpool di bawah Klopp.

Kesilapan Van Dijk memberikan Fulham gol penyamaan pada minit ke-74 apabila tandukannya kepada penjaga gol Alisson Becker disambar bekas pemain sayap Liverpool, Babel yang kemudiannya meledak jaringan.

Satu lagi kesilapan kali ini oleh Rico, menentukan keputusan itu apabila gagal menangkap kemas sepakan Mohamed Salah dan kemudian menjatuhkan Mane seterusnya Milner menyempurnakan penalti. – Reuters

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Ronaldo ledak gol ke-102 0 7792

Ronaldo ledak gol ke-102

LISBON: Cristiano Ronaldo semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika juara Eropah, Portugal membelasah Andorra 7-0 dalam saingan persahabatan sebentar tadi.

Bintang Juventus itu masuk dari bangku simpanan untuk meledak jaringan ke-102 gol buat Portugal pada minit ke-85.

Bekas penyerang Iran, Ali Daei memegang rekod dengan 109 gol.

Portugal, yang meneruskan persiapan untuk mempertahankan Kejohanan Eropah tahun depan akan beraksi dalam Liga Negara-Negara berdepan Perancis awal pagi Ahad ini, mudah mengatasi Andorra. – Berita Harian

Spread the news

FAS mungkin tarik diri 0 5405

FAS mungkin tarik diri

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais menegaskan, pihaknya mungkin akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021.

Menurutnya, tindakan demikian terpaksa dilakukan sekiranya masalah kewangan dialami masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sedar pendekatan dilakukan bakal memberi tempias atau kesan terhadap pasukan yang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika ini.

“Mungkin kami akan menarik diri dari terus bersaing dalam kancah Liga Malaysia 2021 sekiranya masalah kewangan yang dihadapi ketika ini masih gagal menemui jalan penyelesaian serta tiada pihak yang tampil untuk membantu.

“Memang tindakan berbuat demikian memberi tempias kepada pasukan yang berada di bawah naungan kita kelak,” jelas Datuk Posa kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan menarik diri dilihat sebagai jalan terbaik untuk mengelak musibah tersebut terus berpanjangan.

Musim ini lima pasukan di bawah badan induk berkenaan bersaing dalam liga anjuran FAM iaitu Sarawak United FC (Liga Premier), Sarawak United II Liga M3), Sarawak United III (Piala Presiden), Sarawak United IV (Piala Belia) dan Sarawak United (Liga Futsal FAM).

Justeru jika keputusan menarik diri terpaksa dilakukan maka secara automatik kesemua lima pasukan ini tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan anjuran FAM.

Dalam pada itu katanya, pihak pengurusan FAS merakam ucapan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol atas sokongan yang diberikan kepada badan induk (FAS) selama – Suara Sarawak

Spread the news