SIBU: Seorang operator kantin ditahan kerana disyaki merogol seorang pekerja sendiri iaitu wanita warganegara Indonesia berulang kali di sini, pagi semalam.
Lelaki berusia 43 tahun itu dikatakan melakukan kesalahan tersebut hampir setiap hari sejak November 2016.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak ditahan di rumahnya di Jalan Kandis berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa, 20 tahun pada jam 11 pagi semalam.
“Kali terakhir suspek melakukan perbuatan itu (rogol) adalah pada awal bulan Mac lalu,” katanya ketika diminta mengulas kejadian itu, hari ini.
Difahamkan, mangsa telah bekerja dengan suspek sejak Oktober 2016 dan tinggal di rumah suspek bersama pekerja lain.Suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -Utusan Borneo Online