KUCHING: Jodoh parti politik tempatan Sarawak dengan Barisan Barisan (BN) yang menjadi gabungan sejak zaman Perikatan, dijangka hari ini
Keputusan mengenainya dijangka dimuktamadkan pada mesyuarat khas membabitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Malah difahamkan, parti bukan komponen yang mengisytihar diri mereka sebagai mesra BN sejak Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), Parti Rakyat Bersatu (UPP) juga dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan yang akan diadakan di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, Petra Jaya.
Menurut sumber, parti tempatan lain sepakat untuk membentuk gabungan baharu selepas PBB awal-awal lagi mendedahkan mereka akan meninggalkan BN demi menjaga hubungan baik negeri dengan pentadbiran Persekutuan.
“Parti tempatan lain tiada pilihan kecuali bersama PBB membentuk pakatan baharu demi memastikan kedudukan mereka terus kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) nanti.
“PBB adalah parti utama dan tunjang pemerintahan kerajaan negeri Sarawak sekarang dengan memiliki 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,” katanya.
Justeru katanya, parti tempatan lain pastinya mahu terus memastikan kelangsungan mereka bagi menghadapi PRN-12 pada tahun 2021 yang bakal menjadi ‘ibu segala pilihan raya’ di Sarawak.
“Keputusan untuk menubuhkan pakatan baharu membabitkan lima parti itu sekali gus menunjukkan isyarat bahawa keputusan itu dibuat demi rakyat Sarawak.
“Mereka tidak boleh lagi bersama BN kerana parti yang sekian lama memerintah itu dilihat sudah rosak dan dilabel dengan pelbagai persepsi negatif,” katanya.
Bagaimanapun katanya, perubahan yang akan dibawa lima parti dalam gabungan itu harus dilakukan secara menyeluruh dengan keluar sepenuhnya dari bayangan BN.
“Jangan jadi seperti ular menyalin kulit. Kulitnya sahaja yang bertukar, sedangkan badannya masih sama. Saya percaya jika pakatan baharu nanti tidak menjadi seperti ular, mereka akan mampu mengekalkan kelangsungan pada PRN-12.
“Pada masa yang sama, pakatan baharu itu nanti juga harus mesra dengan Kerajaan Persekutuan, namun mereka juga perlu bertindak sebagai pembangkang yang efektif di Dewan Rakyat,” katanya. Berita Harian Online