BINTULU – Polis memberkas sepasang suami isteri warga Indonesia kerana disyaki mengedar dadah di sebuah rumah sewa di Jalan Sungai Nyigu, Hill Top Villa, di sini petang tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, suspek masing-masing berusia 45 dan 29 tahun ditahan kira-kira pukul 1.30 petang.
Menurut beliau, serbuan itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan polis berhubung kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan suspek di sekitar bandar ini.
“Hasil serbuan, polis merampas 13 peket lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 53 gram.
“Turut dirampas ialah peralatan digunakan untuk membungkus dadah,” katanya ketika dihubungi, di sini malam ini.
Beliau berkata, nilai dadah dirampas dianggarkan RM7,200.
Katanya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Kia Spectra dipercayai diguna suspek untuk mengedar dadah.
Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek aktif mengedar dadah sejak empat bulan lalu di sekitar bandar lama Bintulu dan di Sungai Nyigu di sini.
“Siasatan mendapati pasangan suami isteri berasal dari Pontianak, Kalimantan Barat itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE