Penduduk Indonesia biasa dengan gempa dan ketiadaan amaran awal 0 6218

Pada 28 Sept, dunia yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai pancaroba digemparkan lagi dengan kejadian gempa bumi berskala 7.5 pada skala Richter disusuli tsunami besar yang menggoncang Kota Palu, di Sulawesi, Indonesia dan meragut beribu-ribu nyawa.

Lebih menyedihkan, gempa kuat yang dirasai di sekitar kawasan Sulawesi Tengah itu dilapor menelan Kampung Petobo dan Kampung Balaroa sehingga menyebabkan kedua-dua kampung itu ‘hilang’ bersama kira-kira 5,000 penduduknya daripada peta dunia.

Tetapi penduduk negara itu sudah begitu biasa dengan bumi yang bergegar bawah kaki mereka selain ketiadaan amaran awal bencana di kebanyakan tempat. Dua warga Indonesia di Kuala Lumpur berkongsi pengalaman mereka sendiri berhubung sikap sambil lewa segelintir penduduk negara itu dan ketiadaan atau kegagalan sistem amaran awal bencana.

Seorang pelajar warga Indonesia di Universiti Malaya, Eris Surwandi, 25, berkata Indonesia yang sering terbabit dengan gempa bumi menyebabkan ramai rakyatnya seperti ‘tidak endah’ dengan amaran gempa bumi dikeluarkan sistem amaran bencana.

“Benar, di Indonesia (yang terletak berdekatan Lingkaran Api Pasifik) memang penduduknya tidak endah sangat tanda-tanda gempa sebab memang selalu kami alami. Saya yakin ketika gempa berlaku di Palu, penduduk yang sudah biasa dengan keadaan sedemikian tidak menyangka ada tsunami besar akan menimpa mereka.

“Tidak dinafikan, kerajaan Indonesia memang ada memasang peralatan-peralatan canggih antaranya siren-siren gempa di kawasan laut. Malangnya ada antaranya sudah rosak dan tidak diselenggara (dan ini) menyebabkan penduduk tidak perasan kehadiran tsunami yang datang selepas gegaran gempa,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, beliau rasa bersyukur kerana keluarganya menetap di Kuala Tungkal, Jambi dan kawasan berkenaan tidak ditimpa bencana dahsyat itu malahan beliau bersimpati dengan nasib menimpa penduduk Palu.

“Saya cukup sebak mengenangkan nasib yang menimpa penduduk Kota Palu yang saya rasa ada kira-kira 300,000 penduduk.

Menurut Eris, antara langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan lebih banyak mangsa bencana pada masa hadapan adalah dengan kerajaan dan dibantu badan bukan kerajaan (NGO) memperbaiki sistem amaran gempa bumi yang bermasalah.

“Kita tidak dapat salahkan penduduk sepenuhnya kerana mereka sudah terlalu biasa alami gempa sehingga ada masa mereka tidak endahkannya dan saya difahamkan ada beberapa siren amaran tidak berfungsi, ini turut mengejutkan saya sebagai rakyat Indonesia.

“Jadi langkah terbaik adalah kerajaan dibantu NGO memeriksa sistem ini secara berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik seterusnya dapat membantu penduduk lebih peka dengan amaran yang dikeluarkan serta tinggalkan secepat mungkin dari kawasan mereka,” ujarnya.

Manakala seorang pelajar Indonesia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Rizkiy Anuar, 23, berkata, antara langkah yang boleh diambil secara kolektif ialah dengan memperbanyak latihan situasi kecemasan atau ‘evacuation drill’.

“Kerajaan di Kota Padang memang ada pasang sistem amaran gempa bumi itu dan ia beroperasi tetapi saya difahamkan di kawasan lain ada yang tidak berfungsi dengan baik.

“Tetapi kami di Padang mungkin berkelebihan kerana penduduk di sini mengambil berat amaran gempa, dan yang paling kerap dijalankan ialah ‘evacuation drill’ dan semua pihak terlibat menjayakannya termasuklah sekolah-sekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Tambah beliau, di samping siren amaran yang dipasang di kawasan laut dan sungai berhampiran, penduduk di Kota Padang turut membuat inisiatif sendiri iaitu menyediakan laluan ‘Safe Evacuation Passage’ bagi memudahkan penduduk menyelamatkan diri apabila bencana tiba.

“Kita tidak boleh jangka bencana tiba pada waktu bila, tetapi apa yang kita boleh buat secara kolektif ialah di samping siren amaran bencana, ada baiknya kita turut menyedia dan memudahkan laluan keselamatan dengan memasang papan tanda menuju ke kawasan tinggi yang mempunyai tempat-tempat berteduh sementara,” katanya.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa ditemui terkorban akibat gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,57i orang setakat 6 Okt dan operasi menyelamat masih dijalankan.

– Bernama

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13938

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13095

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news