KUCHING: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya dilanggar sebuah lori di Batu Tujuh, Jalan Penrissen di sini sekitar jam 7.20 pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Collin Sijun, 48 tahun dan berasal dari Kampung Peninjau Baru di Bau.
Difahamkan, mangsa semasa kejadian dalam perjalanan dari arah Bau ke pusat bandar raya apabila dilanggar sebuah lori ketika tiba persimpangan selekoh tersebut.
“Semasa tiba di selekoh Batu Tujuh, tiba-tiba (lori) terlanggar motosikal (mangsa) yang bergerak dari arah yang sama di sebelah kiri (lori).
“Akibat dari kemalangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan pinggul disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu.
Menurutnya juga, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Utusan Borneo Online