SIBU: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) akan meluluskan permohonan perjalanan tambahan yang dibuat pengusaha bot ekspres bagi mengatasi masalah jumlah penumpang yang ramai pada saat-saat akhir menjelang perayaan Hari Gawai Dayak.
Penolong Pengawal Wilayah Tengah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Hata Moshidi berkata, permohonan itu bagaimanapun tidak boleh dibuat lebih awal, sebaliknya dipohon pada hari bot berlepas dan kelulusan akan diberi pada hari yang sama.
Beliau memberitahu Bernama hari ini, tiket bot ekspres bagi perjalanan untuk laluan Sibu–Song–Kapit– Belaga bersempena perayaan Hari Gawai Dayak bagi tempoh 28 hingga 30 Mei sudah habis ditempah berikutan pertambahan mendadak jumlah penumpang menjelang perayaan yang diraikan masyarakat Dayak itu.
Menurutnya, mereka yang balik ke kampung bersama keluarga telah menempah tiket lebih awal supaya dapat menaiki bot ekspres.
Hata berkata purata harian jumlah penumpang yang direkodkan menggunakan perkhidmatan bot ekspres pada hari biasa ialah sekitar 2,000 orang tetapi menjelang musim perayaan Hari Gawai Dayak jumlah penumpang meningkat sehingga mencecah 8,000 orang.
Anggota-anggota penguat kuasa LSS akan ditempatkan di Terminal Penumpang Sibu seawal jam 4 pagi bagi memastikan pengusaha bot mematuhi had jumlah penumpang, katanya.
Sebelum ini masyarakat Dayak melahirkan kebimbangan di laman sosial bahawa mereka tidak dapat balik menyambut Hari Gawai Dayak di kampung masing-masing berikutan tiket bot ekspres sudah habis ditempah. – BERNAMA