KUCHING: Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dikatakan mengheret seorang gadis berusia 18 tahun yang juga rakan sekerjanya ke dalam tandas di pejabat mereka lalu merogolnya dalam satu insiden pada Ahad lepas.
Difahamkan, suspek berusia lewat 20-an itu ditangkap di Serian sekitar jam 12.35 tengah malam Isnin, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
“Mangsa semasa kejadian sedang bekerja seperti biasa di pejabat mereka apabila suspek tiba-tiba muncul lalu mengheretnya masuk ke dalam tandas dan melakukan perbuatan terkutuk(merogol) tersebut.
“Suspek yang takut kejadian tersebut terbongkar,kemudian terus melarikan diri dari tempat kejadian meninggalkan mangsa yang hampir tidak sedarkan diri,” kata sumber.
Mangsa yang trauma dengan insiden tersebut kemudian mengadu perkara tersebut kepada majikannya dan telah dibawa ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubungkejadian.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai semasa dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu bahawa suspek berbangsa Cina itu kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.
“Bertindak daripada laporan yang dibuat mangsa, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) telah pergi ke rumah suspek, namun didapati dia telah melarikan diri.
“Suspek bagaimanapun berjaya dijejaki dan dia telah ditangkap sekitar jam 12.35 tengah malam Isnin lepas di Serian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurutnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. -Utusan Borneo Online