KUCHING: Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Dato Posa Majais tidak teragak-agak merombak keseluruhan skuad Sarawak termasuk barisan jurulatih sebaik berakhir saingan Liga Premier 2019.
Ia selepas beliau kecewa dengan prestasi merudum skuad itu yang terus mengalami kekalahan demi kekalahan dengan terbaru tewas 1-4 kepada Sabah malam tadi di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
“Saya akan mengambil langkah drastik dengan merombak skuad ini termasuk barisan jurulatih sebaik berakhir saingan Liga Premier 2019 jika keputusan merosot seperti ini berterusan.
“Bagaimanapun, tindakan itu akan ditangguhkan jika skuad menunjukkan peningkatan dalam baki perlawanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Posa, tindakan sama juga akan diambil terhadap skuad Piala Presiden dan Piala Belia jika masih gagal mempamerkan peningkatan dalam baki perlawanan.
Sarawak mencatat kekalahan ke-10 malam tadi untuk terus menghuni tangga tercorot Liga Premier dengan hanya mengumpul 10 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.
Pada aksi malam tadi, bintang import Sabah dari Serbia, Rodoljub Paunović meledak hatrik untuk membantu skuad badak mengutip tiga lagi mata sekali gus kekal selaku pendahulu liga.
Rodoljub membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum seorang lagi pemain import Sabah, Aguinaldo Policarpo meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 pada babak pertama dengan meledak gol kedua minit ke-38.
Penyerang Sarawak kelahiran Sabah, Bobby Gonzales berjaya merapatkan jaringan dengan menjaringkan gol pada minit ke-58.
Namun, ia tidak dapat menyekat kerakusan skuad kendalian Jelius Ating memburu jaringan tambahan dengan Rodoljub menambah koleksi golnya pada minit ke-63 dan 85.
Sarawak akan meneruskan kempen menentang Negeri Sembilan pada 6 Julai depan di Stadium Sarawak, Petra Jaya. – Utusan Borneo Online