Sarawak yang mengadakan pilihan raya negeri pada 2016, hanya mengadakan pemilihan untuk kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Justeru, pilihan raya ini tidak memberi sebarang kesan terhadap kedudukan kerajaan negeri.
Sebaliknya, Sarawak yang disifatkan sebagai simpanan tetap bersama-sama dengan negeri jirannya, Sabah bakal menentukan nasib Barisan Nasional (BN) sama ada dapat terus berada di Putrajaya atau tidak selepas ini.
Terdapat 31 kerusi Parlimen untuk ditandingi di Sarawak. Dalam pilihan raya ke-13, Barisan Nasional (BN) mengemukakan 31 calon, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 15, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 11, Parti Reformasi negeri (STAR) tujuh, Sarawak Workers Party (SWP) enam, PAS lima dan Bebas tujuh orang calon.
Pilihan raya itu yang diadakan sekitar dua tahun selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-10, menyaksikan pertandingan empat penjuru di tiga kawasan, pertandingan tiga penjuru di 14 kawasan, dan 14 kawasan lagi menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Bagaimana pula keadaannya dalam PRU-14 nanti?
BN negeri yang mengemukakan tujuh muka baharu pada PRU lalu tidak menghadapi masalah dari segi pemilihan calon kecuali di Saratok dan Hulu Rajang. SUPP ketika itu berdepan dengan masalah pertelagahan antara dua puak, iaitu antara puak Presiden Peter Chin dengan puak Wong Soon Koh.
Hakikat bahawa semua kerusi ditandingi sekali lagi, seperti yang berlaku pada PRU lalu bukanlah sesuatu yang di luar dugaan menyedari bahawa parti komponen Pakatan harapan iaitu DAP, PKR dan Amanah sudah berjaya menjalin kerjasama yang baik berbanding dengan sebelumnya. Pada PRU lalu, SWP dan STAR bertanding atas platform masing-masing.
Pada PRU-12, lima kerusi dimenangi tanpa bertanding, iaitu Tanjong Manis, Igan, Kanawit, Selangau dan Kapit. Jumlah kerusi paling banyak dimenangi tanpa bertanding berlaku pada 1995 apabila sembilan orang calon menang pada hari penamaan calon. Jangan mengimpikan ada kerusi menang tanpa ditandingi pada PRU akan datang.
Dalam tempoh kempen, parti dan calon yang bertanding menggunakan pelbagai strategi dan pendekatan.
Selain menggunakan strategi dan pendekatan konvensional dengan mengadakan majlis perjumpaan rakyat dan ceramah serta bersemuka dengan pengundi dengan pergi dari rumah ke rumah, mereka juga menggunakan pelbagai bahan kempen seperti kain rentang, poster, papan iklan dan kenyataan akhbar.
Bagi BN, calonnya mendapat liputan yang lebih daripada media arus perdana dan media tempatan yang dikaitkan dengan parti pemerintah. Radio dan televisyen akan turut membantu kempen BN apatah lagi di kawasan luar bandar, televisyen dan radio banyak ditonton dan didengar oleh pengundi.
Seperti biasa, BN dijangka menggunakan hujah tentang keupayaannya untuk membawa pembangunan dan ketiadakupayaan pembangkang membawa pembangunan.
Sewaktu berkempen dan ketika berceramah, calon dan pemimpin BN, yang turut dibantu oleh pemimpin pusat, termasuk Perdana Menteri, pasti akan berjanji untuk menyalurkan lebih banyak projek pembangunan jika memenangi pilihan raya itu. BN tentu akan mengingatkan rakyat agar perlu berwaspada dengan janji Pakatan Harapan.
Sebaliknya, pembangkang dijangka mengeksploitasikan pelbagai isu termasuk isu kemiskinan, 1MDB, kurangnya pembangunan, isu tanah NCR, GST, kos sara hidup dan beberapa lagi.
Dalam PRU-13, BN meraih 59 peratus undi popular di Sarawak, sementara Pakatan Rakyat 37 peratus. Pakatan mengukuhkan prestasinya berbanding 2008 apabila hanya meraih 29 peratus undi popular ketika BN mencatat 59 peratus undi popular. SWP sekadar mencatat 1.9 peratus undi popular. Pakatan Rakyat (PR) yang memasang impian untuk memenangi 16 kerusi daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak terpaksa berpuas hati apabila sekadar meraih enam kerusi.
Semua kerusi itu, seperti dijangka ialah kerusi majoriti pengundi Cina. Mereka masih gagal menembusi kerusi separa bandar dan luar bandar Sarawak, sekali gus membuktikan bahawa pengundi bumiputera masih lagi merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Antara perubahan dan kesinambungan, pengundi Sarawak memilih untuk mengekalkan BN. Pelan Transformasi Kerajaan yang dibawa oleh Perdana Menteri dan politik pembangunan menjadi senjata ampuh BN.
Usaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk menembusi kawasan separa bandar dan luar bandar tidak berjaya. Calonnya di Mukah, Mas Gading, Serian, Kapit,dan Bintulu ditolak oleh pengundi. Fenomena yang sama dijangka akan berlaku pada PRU-14.
Adakah Pakatan Harapan dengan tawaran baharu seperti yang diumumkan baru-baru ini, akan berjaya menambat pengundi di Sarawak? Hakikatnya, sukar untuk Pakatan Harapan menambah kerusi, sebaliknya mereka berisiko kehilangan satu atau dua kerusi yang dimenangi pada PRU-13. — Sarawakvoice