SIBU: Seorang lelaki dijumpai meninggal dunia oleh orang awam di anak tangga sebuah kedai perabot di Jalan Mission di sini, hari ini.
Si mati yang dikenali sebagai Ying Fei Kong, 35, dijumpai terbaring di situ sekitar pukul 8.44 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian pergi lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Pihak Hospital Sibu yang turut dimaklumkan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia akibat masalah kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, lagi mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di atas tangga masih berpakaian lengkap.
Menurutnya, pemeriksaan awal pada tubuh badan mangsa mendapati tiada kecederaan luaran.
“Seorang saksi menyatakan mangsa dikatakan berjalan dan tiba tiba rebah lalu pengsan. Tiada kesan pergelutan dan barang milik mangsa masih ada,” jelas beliau.
Katanya lagi, mangsa pernah ditangkap kerana terlibat dengan dadah.
“Ahli keluarga mangsa telah memohon agar mayat si mati tidak dibedah siasat. Mereka mengesahkan si mati berpenyakit tetapi tidak mahu berubat,” kata beliau.
Stanley berkata, siasatan awal mangsa dipercayai mati disebabkan serangan jantung dan tiada unsur jenayah.
Mayat dibawa ke Hospital Sibu untuk urusan lanjut dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Utusan Borneo Online