KANOWIT: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas ketika sedang mandi manda bersama bapanya di Batang Rajang, Nanga Ngemah, di sini hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kanowit, DSP Daniel Desmond Benjamin, mangsa bersama bapanya, Jantum Lanting sedang mandi di sungai sekitar jam 10 pagi sebelum tiba-tiba tenggelam dan tidak timbul.
“Bapa mangsa kemudian berusaha mencari anaknya dan hanya berjaya menjumpai mangsa selepas satu jam di kawasan dan tempat yang sama.
“Bagaimanapun, bapa mangsa mendapati anaknya sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Penduduk kampung segera memaklumkan kejadian itu kepada dua anggota polis yang sedang membuat rondaan di Rumah Merembai Nanga Ngemah sebelum laporan polis di buat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit sekitar 2.40 petang.
Mayat mangsa, Presly Jantum dibawa ke Hospital Kanowit untuk dibedah siasat. – Utusan Borneo Online