Rivaldo anak Sarawak dari Saratok dipanggil ke skuad Kebangsaan 0 5773

PETALING JAYA: Pemain bola sepak, Rivaldo berasa bangga dan bersyukur apabila dipanggil menyertai kem latihan negara buat kali pertama.

Rivaldo yang dimaksudkan itu bukan bintang Brazil, Rivaldo Vitor Borba Ferreira, tetapi pemain pertahanan skuad bawah – 21 tahun (B-21) negara, Rivaldo Adrill Wilson Rentap.

Pemain berusia 20 tahun berasal dari Saratok, Sarawak yang dipanggil buat kali pertama ke kem latihan pusat skuad B-21, mahu menggunakan peluang itu untuk menunjukkan prestasi terbaiknya supaya dapat meneruskan karier bola sepaknya sehingga ke skuad senior negara, iaitu skuad Harimau Malaya.

“Ini adalah kali pertama saya dipanggil menyertai latihan di peringkat kebangsaan. Kejohanan besar bagi saya ialah Piala Belia pada tahun ini, sebelum beraksi di Piala Presiden musim ini.

“Saya perlu bekerja keras untuk terus mewakili negara di peringkat senior,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM di sini, hari ini.

Apabila ditanya mengenai keistimewaan namanya yang sama dengan legenda bola sepak Brazil itu, anak sulung dari tiga adik-beradik itu berkata, nama berkenaan diberikan oleh ibu bapanya sempena nama pemain Brazil itu yang beraksi pada Piala Dunia 1998 di Perancis.

“Bagi saya nama ini telah menjadi biasa kerana ia memang dah jadi nama saya sejak kecil.

“Bagaimanapun, ia ada memberikan saya motivasi untuk mencipta nama seperti Rivaldo di arena bola sepak antarabangsa satu hari nanti. Saya belum mendapat peluang untuk bertemu dia, tetapi ada mengikutinya di media sosial,” katanya.

Rivaldo, bekas pemain sayap dan tengah Brazil itu, adalah antara gandingan utama Ronaldo dan Ronaldinho yang digelar ‘the three R’s’ yang membantu negara Amerika Selatan itu mara hingga ke final Piala Dunia 1998 di Perancis tetapi tewas 0-3 kepada tuan rumah, sebelum bangkit menjuarai edisi 2002, di Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, Penolong Jurulatih Penjaga Gol skuad B-23 negara, Yong Wai Hwang berkata kem latihan selama 10 hari bermula hari ini, adalah sebagai persiapan untuk tiga kejohanan utama yang bakal ditempuh pemain-pemain B-21 itu.

Tiga kejohanan itu adalah Piala Ulang Tahun PSSI 2018 di Stadium Pakansari, Jawa Barat, bermula 27 April-6 Mei; kelayakan Kejohanan AFC B-23 dan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun depan.

“Ketika peninjauan kita telah menyenaraikan seramai 42 pemain… 26 pemain yang dipanggil ini adalah pemain yang terbaik daripada senarai itu. Tujuan utama kem ini adalah untuk mengenal pasti pemain utama untuk beberapa kejohanan dalam tempoh dua tahun ini.

Mereka akan beraksi di Kejohanan PSSI, yang juga kejohanan pra Sukan Asia menentang pasukan B-23 dari Indonesia, Bahrain dan Korea Utara .

“Kita beri peluang untuk pemain-pemain ini yang tidak pernah dipanggil untuk skuad B-23, di mana sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, mereka berpeluang beraksi di Sukan Asia nanti,” katanya.

Yong bersama Penolong Jurulatih, Khan Hung Meng akan mengendalikan kem latihan pusat itu, sementara menunggu Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee dan seorang lagi Penolong Jurulatih, Brad Maloney pulang daripada program kejurulatihan selama sebulan di Madrid, Sepanyol.

Pemain-pemain skuad B-21 turut dijadualkan untuk aksi persahabatan menentang PJ Rangers di Padang Wisma FAM pada 27 Mac, sebelum pulang ke pasukan masing-masing pada hari berikutnya-  BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 14917

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8360

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news