Kuching: Perbuatan membuka pakaian, menyentuh seluruh badan, mencium dan merogol anak tiri membawa padah kepada seorang lelaki berusia 41 tahun apabila dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun serta dikenakan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching, hari ini.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku pada empat tahun lalu di rumah mereka di Kampung Biawak, Lundu iaitu ketika mangsa berusia 12 tahun.
Mangsa sedang bermain dengan telefon bimbitnya di dalam bilik sebelum tertuduh masuk secara tiba-tiba dan membuka pakaian mangsa lalu merogolnya. Pada waktu itu juga, mangsa cuba melawan dan menjerit, namun usahanya gagal.
Rentetan peristiwa itu, tertuduh mengulangi perbuatan sama selama beberapa kali sehingga mangsa kini mencecah usia 15 tahun.
Pada Julai lalu juga, tertuduh masuk ke dalam bilik mangsa lalu menyentuh seluruh tubuh badan serta mencium mulutnya.
Tertuduh turut merogol anak tirinya dalam kejadian antara jam 7 petang hingga 2 pagi itu.
Akibat tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa pada 11 Oktober lalu membuat laporan polis.
Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 14 (1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana menyentuh tubuh dan mencium mulut mangsa.
Namun, Hakim Jason Juga mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan agar menyemak semula hukuman di bawah Seksyen 16 berikutan ianya tidak setimpal dengan perbuatan tertuduh.
Oleh itu, mahkamah menangguhkan kes sehingga disebut semula pada 4 November depan untuk menjatuhkan hukuman bagi pertuduhan kedua.
Sementara itu, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan dia ditahan dipenjara sehingga kes disebut semula.-Utusan Borneo Online