AYER KEROH: Bermula bulan ini, semua 201 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara akan dijenamakan sebagai Pusat Komuniti Desa (PKD).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, berkata penjenamaan baharu itu merangkumi 196 mini RTC dan lima RTC yang akan ditingkatkan matlamat penubuhannya pada masa depan.
Katanya, fungsi PKD akan ditambah baik, antaranya bagi menempatkan lebih ramai usahawan, khususnya masyarakat luar bandar untuk memasarkan produk jualan dan perniagaan di pusat berkenaan.
“Semua mini RTC mahupun RTC selepas ini hanya akan dikenali sebagai PKD,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rina mengadakan mesyuarat tertutup bersama Adly selama kira-kira 40 minit.
Dalam pada itu, Rina berkata, kementeriannya komited untuk meneruskan semua projek pembangunan luar bandar bernilai RM18.6 juta yang sudah diluluskan untuk Melaka, pada tahun ini.
“Ia termasuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), pembaikan rumah, pemasangan lampu jalan dan jalan kampung.
“Mengikut perancangan, negeri ini akan mendapat peruntukan sebanyak RM42 juta, pada tahun depan. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada bajet yang akan diumumkan (Perdana Menteri), November ini,” katanya.
Sementara itu, Adly berkata, peruntukan yang disalurkan Kementerian Luar Bandar, antara lain memfokuskan kepada pembinaan PPRT, bantuan baik pulih kediaman penduduk luar bandar, pemasangan lampu jalan serta jalan raya di kawasan luar bandar.
“Di Melaka, isu perumahan antara yang menjadi tumpuan masyarakat, di samping fokus pembaikan rumah dan projek lampu jalan yang dapat menerangkan kawasan kampung serta jalan raya,” katanya. – Berita Harian Online