KUCHING: Sarawak akan menerima royalti minyak dan gas sebanyak 5 peratus dan juga keuntungan minyak sebanyak 20 peratus, lapor Oriental Daily News.Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen (gambar), kerajaan PH terpaksa mengubah janji asal pemberian royalti seperti dijanjikan sebelum ini apabila kerajaan Sarawak tidak menerima syarat dikenakan.
Jelasnya, janji pemberian royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus, dan pengembalian 50 peratus daripada cukai dikutip di Sarawak, disertakan dengan syarat kerajaan Sarawak menggunakan pendapatan tersebut untuk tujuan pembangunan pendidikan dan kesihatan.
“Keuntungan minyak 20 peratus yang ditawarkan merupakan tambahan kepada royalti minyak dan gas 5 peratus yang diterima sekarang,” kata Chong yang jugaTimbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama PH Sarawak yang turut ditandatangani Menteri Kerja Raya, Baru Bian di lobi Parlimen, hari ini. – Utusan Borneo Online