KUCHING: Bandar pintar adalah antara inisiatif dirancang kerajaan Sarawak dalam wawasan menjadikan negeri ini mencapai status maju menjelang 2030.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan negeri juga menjalin kerjasama dengan syarikat telekomunikasi China, Huawei, bagi mengguna pakai teknologi syarikat antarabangsa itu untuk membangunkan bandar pintar.
“Bandar pintar mempunyai data raya, penumpuan data serta rangkaian internet berkelajuan 5G. Dengannya kita juga dapat mengatasi jenayah, boleh mengatur pengangkutan awam, gaya hidup penduduk seterusnya menjadi kunci kepada kita untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
“Kami sudah bersedia,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Forum Kepemimpinan Asia Ke-2 Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Yang turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Sim Kui Hian serta Menteri Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Abang Johari berkata, apa yang diperlukan Sarawak bagi merealisasikan visi itu adalah untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran dan pakar dalam bidang teknologi maklumat.
“Kami memerlukan kepakaran dalam bidang seperti analisis data, keselamatan siber dan pada masa sama melakukan program serta reka bentuk,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan negeri menyuntik modal untuk menambah nilai sumber-sumber sedia ada dan pada masa sama menaik taraf infrastruktur untuk membangunkan kawasan luar bandar.-BH Online