Ibu hamil boleh berpuasa 0 6030

Menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini, ada beberapa golongan yang diberikan keringanan oleh Allah SWT untuk tidak berpuasa, antaranya wanita hamil dan ibu yang menyusukan anak.

Dianggarkan 70 peratus wanita hamil memilih melaksanakan ibadah ini, kerana ingin mengejar barakah Ramadan dan mungkin kerana memikirkan kesukaran menggantikan puasa pada bulan lain.

Kebanyakan ulama berpendapat wanita hamil patut berpuasa sekiranya kesihatan mereka mengizinkan. Dari sudut perubatan, berpuasa secara keseluruhannya dibolehkan dan selamat untuk wanita hamil dan bayi.

Bagaimanapun, ada sebabnya Allah SWT memberikan keringanan untuk ibu hamil daripada menjalani ibadah puasa. Perlu diketahui, paras kandungan gula dalam darah wanita hamil ketika berpuasa lebih rendah berbanding wanita tidak hamil kerana darah ibu perlu sentiasa membekalkan gula glukos kepada bayi.

Ini menyebabkan ibu hamil lebih cepat letih, loya dan muntah-muntah, terutama pada awal usia kehamilan. Di samping itu, kekurangan air atau dehidrasi menambahkan risiko wanita hamil mendapat darah beku (venous thromboembolism), ini disebabkan kepekatan darah menjadi lebih tinggi ketika hamil.

Tiga bulan pertama tak digalak

Justeru ketahanan untuk berpuasa bergantung kepada tempoh kehamilan, faktor kesihatan wanita berkenaan sewaktu hamil, waktu berpuasa dan keadaan cuaca ketika itu. Mereka tidak dinasihatkan berpuasa pada tiga bulan pertama sekiranya mengalami gejala kehamilan serius, seperti muntah-muntah, kurang selera makan, kepenatan, pening dan pitam.

Selain itu, wanita hamil yang mempunyai masalah kesihatan perlu mendapatkan nasihat doktor sekiranya ingin berpuasa. Dos dan waktu pengambilan ubat tertentu mungkin perlu diubah sesuai dengan waktu sahur dan berbuka.

Mereka yang menghidap kencing manis pula perlu memantau paras gula sebelum dan selepas sahur, tengah hari mahupun selepas berbuka dan sebelum tidur.

Ibu hamil dinasihat tidak meneruskan puasa sekiranya bacaan gula rendah atau mengalami tanda kurang glukos dalam darah (hypoglycaemia), iaitu berdebar-debar, menggigil dan berpeluh, loya dan muntah-muntah.

Bagaimanapun, mereka yang menghidap kencing manis pula memerlukan insulin dos tinggi. Masalah lain, termasuk tekanan darah tinggi tidak terkawal, anemia yang serius dan turun berat badan secara mendadak.

Mereka yang berisiko mendapat darah beku, gangguan ulser perut atau gastrik juga tidak dinasihatkan berpuasa bagi mengelakkan komplikasi.

Awasi jika bayi kurang bergerak

Wanita hamil selepas 28 minggu juga perlu memantau bayi sewaktu berpuasa. Sekiranya pergerakan bayi berkurangan, mereka perlu segera berbuka dan terus ke hospital untuk menjalani pemeriksaan segera dan dapatkan rawatan lanjut.

Tidak banyak kajian perubatan berpiawaian mengkaji kesan berpuasa terhadap kesihatan ibu hamil dan bayi. Beberapa kajian menunjukkan tiada kesan dalam pembesaran janin wanita hamil yang berpuasa.

Satu kajian dari luar negara menggunakan maklumat bancian mendapati, anak dari ibu yang berpuasa pada tiga bulan pertama kehamilan pada musim panas, waktu siangnya lebih panjang mempunyai berat badan lebih rendah serta berisiko mendapat masalah gangguan pembelajaran.

Bagaimanapun, ini bukan kajian berpiawaian tinggi kerana maklumat hanya berdasarkan andaian semua ibu hamil yang beragama Islam berpuasa, serta tidak menimbang faktor lain juga menyumbang kepada masalah pembelajaran dan kekurangan berat badan.

Wanita hamil digalak mengamalkan pemakanan sihat sewaktu bersahur dan berbuka, tingkat pengambilan protein untuk pembesaran bayi, serat dan sayur-sayuran.

Mereka dinasihatkan mengambil makanan yang boleh memberikan tenaga seperti kurma sewaktu berbuka.

Tidak digalakkan makan dalam jumlah banyak sewaktu berbuka. Keadaan rahim yang membesar menolak perut ibu dari bawah dan menyebabkan ibu hamil berasa pedih hulu hati dan memuntahkan kembali makanan.

Elak kerja berat

Sekiranya mempunyai masalah ini, mereka dinasihatkan makan sedikit-sedikit tetapi lebih kerap untuk mendapat kalori mencukupi. Paling utama, wanita hamil perlu minum air yang banyak, kira-kira 1.5 hingga dua liter (8 hingga 10 gelas sehari) dan elakkan makanan dan minuman yang mengandungi paras gula yang tinggi.

Wanita hamil yang berpuasa juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan kerja berat dan aktiviti lasak, serta berada di tempat panas dalam jangka masa lama bagi mengurangkan kesan dehidrasi.

Sekiranya masih kurang pasti sama ada boleh berpuasa atau tidak, dapatkan nasihat doktor selain mencuba berpuasa selama satu atau dua hari untuk melihat ketahanan diri. Mereka tidak perlu memaksa diri berpuasa sekiranya tidak mampu.

Penulis adalah Pensyarah dan Pakar Obstetrik & Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-Berita Harian Online

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13445

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8135

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news