SIBU: Seorang suri rumah berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tergantung dalam bilik mandi rumahnya di Jalan Lada di sini, malam kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 11 malam.
Katanya tersentak dengan kejadian itu, ahli keluarga mangsa kemudian menghantarnya ke Hospital Sibu.
“Mangsa bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia,” katanya sambil menambah, mangsa mempunyai dua anak lelaki yang berusia empat tahun dan lapan bulan.
Katanya, suami mangsa semasa kejadian tidak berada di rumah kerana bekerja di Semenanjung Malaysia.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan pergelutan ditemui di dalam bilik,” ujar beliau.
Katanya, pihak polis juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan luar pada tubuh mangsa.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke rumah mayat untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya. -Utusan Borneo Online