KUALA LUMPUR – Juara lima kali, Brazil hampir dimalukan Switzerland dalam aksi pertama kempen Piala Dunia 2018 FIFA apabila diikat pasukan tersebut 1-1 pada aksi pembukaan Kumpulan E di Samara Arena, Rostov, Rusia awal pagi tadi
Selepas kali terakhir menjulang gelaran dunia 16 tahun lalu, Brazil turun di bumi Rusia pada edisi kali ini dengan misi menebus kekecewaan mereka setelah tersingkir di separuh akhir ketika menjadi tuan rumah empat tahun lalu.
Dibarisi hampir separuh daripada skuad edisi 2014, pasukan The Selecao yang juga ranking No.2 dunia, sekali lagi dilihat sebagai antara pasukan pilihan kerana dibarisi ramai pemain bintang termasuk penyerang sensasi Paris Saint-Germain, Neymar Jr., pertahanan veteran Real Madrid, Marcelo Veira serta perancang Barcelona, Phillipe Coutinho.
Manakala Switzerland pula yang pernah dikenali sebagai pasukan ‘giant killer’ dalam setiap kempen Piala Dunia sebelum ini, turun sebagai pasukan ‘underdog’ meskipun berada di ranking keenam dunia.
Kedua-dua pasukan dalam misi mengutip tiga mata pertama, namun Brazil jelas menguasai banyak permainan dengan gaya samba mereka dan mendahului hasil rembatan menarik Coutinho dari luar kotak penalti pada minit ke-20.
Walaupun Switzerland cuba bangkit mencari gol penyamaan, kedudukan itu kekal sehingga babak pertama tamat.
Babak kedua pula menyaksikan Switzerland mula mendapat suntikan keyakinan dengan melancarkan banyak serangan manakala pemain Brazil pula dilihat kerap hilang bola dan banyak bertahan di atas padang.
Kedudukan akhirnya mula berubah apabila pemain perancang, Steven Zuber memberi keceriaan kepada penyokong Switzerland dengan gol penyamaannya pada minit ke-50.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Brazil mula mengubah tempo permainan dengan mengasak bertalu-talu kubu Switzerland dengan hampir memperoleh gol kedua, namun penyudah yang tumpul dan kecekapan penjaga gol lawan menjadi penghalang.
Mereka terpaksa akur dengan kekebalan benteng Switzerland dan berpuas hati dengan satu mata hasil perlawanan tersebut.
Keputusan ini menyaksikan Brazil dan Switzerland menduduki tangga kedua dan ketiga di belakang Serbia yang mendahului kumpulan dengan tiga mata setelah menang 1-0 ke atas Costa Rica pada aksi terdahulu.
Aksi kedua kumpulan ini bakal menyaksikan Brazil berdepan Costa Rica pada Jumaat depan manakala Switzerland pula bertemu Serbia awal pagi Sabtu. – K! ONLINE