Telinga panjang tradisi Orang Ulu di Sarawak 0 9852

MIRI:Tradisi telinga panjang yang terdapat pada Orang Ulu di Sarawak pernah menjadi satu ciri khas yang sangat menonjol suatu masa dahulu.

Sejak berzaman, telinga panjang menjadi satu identiti penting bagi masyarakat seperti Kayan, Kenyah dan Kelabit.

Bagi mereka, tradisi telinga panjang ini adalah salah satu cara mereka memperkenalkan etnik mereka kepada masyarakat luar serta keunikan budaya yang dijunjung oleh masyarakat tersebut.

Justeru, jarang sekali jika pelawat tidak bertembung dengan kaum ini sama ada lelaki mahupun perempuan yang tidak mempunyai tanda tertentu.

Selain menterjemahkan identiti, telinga panjang dari sudut sosial menunjukkan kedudukan kelas dalam masyarakat yang masih diamalkan oleh mereka khususnya kaum Kayan.

Bagi wanita Orang Ulu, ia dianggap simbol kecantikan paling utama.

Mereka beranggapan, semakin panjang cuping telinga, semakin terserlah aura kecantikan mereka.

Sekali imbas, loyang (perhiasan telinga) seperti ketulan emas tetapi sebenarnya tembaga berkualiti tinggi.

Wanita Orang Ulu hanya menggunakan tembaga berwarna kuning keemasan dan merah pudar yang dipercayai dibawa masuk ke Borneo oleh pedagang dari Tanah Jawa dan China sejak beratus-ratus tahun lampau.

Barangan tembaga begitu bernilai dan mereka yang memilikinya dianggap sebagai golongan berharta.

Bagi masyarakat Kayan misalnya, terdapat enam bentuk buah tembaga atau esang yang digunakan iaitu Esang Lungen, Esang Kavad Jalai, Esang Metam, Isang Sem’aha dan Esang Selalau.

Hari ini, sukar untuk mendapatkan tembaga tulen dan jika adapun harga sepasang mencecah RM3,000 ke atas bergantung kepada bentuk dan usia sebenar.

Sebahagian daripada masyarakat Kayan yang ditemui masih menyimpan esang berusia ratusan tahun yang diwarisi daripada berpuluh-puluh generasi nenek moyang mereka.

Inilah yang menjadikan esang begitu istimewa sehingga ada yang sanggup mencuri bahkan meragut perhiasan ini kerana nilainya begitu tinggi di pasaran.

Seperti menggunakan perhiasan lain, wanita Orang Ulu bijak memilih bentuk tembaga yang sesuai dan sepadan dengan bentuk muka masing-masing.

Ia tak ubah seperti memilih fesyen baju yang sesuai untuk disarungkan ke majlis keramaian.

Muka bujur dan berisi dikatakan sesuai untuk tembaga bentuk lonjong manakala wajah yang berbentuk segi empat dan kelihatan kurus lebih menarik jika menggunakan bentuk bulat.

Di samping itu, tidak harus terlalu pendek (di atas bahu) atau terlalu panjang sehingga menyentuh payu dara. Telinga sepanjang 20 sentimeter atau setakat pangkal dada dikatakan paling standard dan cantik dipandang mata.

Tina Pasang, 71, kaum Kelabit dari Kampung Pa’ Umor, Bario berkata, telinga panjang yang cantik mestilah melebihi paras bahu sehingga mencecah pangkal dada.

Menurut beliau, ramai gadis pada masa dahulu berebut-rebut untuk memiliki telinga panjang seperti yang dimilikinya.

Bukan sahaja cantik dipandang, malah mereka lebih senang menambat hati bakal suami dan keluarga mentua.

Bagaimanapun, tidak semua wanita bernasib baik memperoleh telinga seumpama ini.

”Sebahagian daripada mereka menderita dan menanggung malu kerana memiliki telinga yang senget malah ada yang terputus sebelah atau kedua-dua belah dan terpaksa disambung.

”Telinga ini mengambil masa bertahun-tahun untuk memanjang, maka seelok-eloknya buah tembaga yang diguna sejak bayi perlu bersesuaian agar cuping telinga lebih cepat meregang dan memanjang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tina yang memiliki telinga panjang sejak kanak-kanak berkata, bukan sesuatu yang pelik sekiranya cuping tersebut tidak memanjang walaupun menggunakan tembaga dari saat bayi lagi.

Katanya, memang menyedihkan sekiranya telinga tidak ‘menjadi’ sehingga mereka tua dan meninggal dunia.

”Keadaan ini membuktikan tidak semua wanita Orang Ulu boleh memiliki telinga panjang melainkan hanya mereka yang benar-benar bertuah,” ujarnya.

Bagi Sina Maran Lugun, 80, dari Kampung Pa’ Umor, Bario berkata, wanita bercuping telinga tebal dan besar lebih senang memiliki telinga panjang berbanding mereka yang memiliki cuping telinga kecil dan nipis.

Menurutnya, buah tembaga yang digunakan pada hari ini boleh dibeli di Marudi dengan harga RM300 sepasang.

”Tidak seperti dulu, kami hanya menggunakan buah tembaga ini apabila ada acara rasmi atau keramaian.

”Bagaimanapun, peredaran zaman yang menuntut penghijrahan telah menyebabkan ramai telah berpindah ke kawasan bandar dan ada yang terpaksa memotong telinga mereka kerana segan,” katanya.

Menurut Sina, beliau tidak terfikir untuk memotong telinganya kerana ia adalah lambang dan warisan yang menjadi kebanggaan wanita Orang Ulu.

”Kemana-mana saya melangkah, pasti menjadi tumpuan sehingga ada rakan bergurau memberitahu saya seperti artis terkenal. Apa yang pasti, saya amat berbangga dengan imej bertelinga panjang,” katanya.

Delly Asong Ngau, 68, kaum Kayan dari Long Tebangan, Sungai Akah Baram berkata, masyarakat Kayan amat menghargai tradisi itu justeru ia tidak boleh dipotong sembarangan melainkan dalam keadaan tertentu.

Katanya, sesiapa yang memotong telinga dikenakan denda sebanyak RM300 dan sebiji tawak.

”Sesiapa yang memotong telinga ini wajar dikenakan hukuman berat kerana ia seolah-olah menggalakkan wanita lain untuk memotong telinga mereka pula,” katanya.

Seperti tradisi lama yang lain, telinga panjang kini semakin lenyap ditelan zaman. Tradisi yang pernah menjadi identiti dan kebanggaan kaum Kayan ini semakin ditinggalkan selari dengan perubahan zaman.

Mustahil untuk kita melihat golongan muda Orang Ulu hari ini memiliki telinga panjang seperti nenek moyang mereka.

Selain jumlah yang amat sedikit, terdapat wanita bertelinga panjang sanggup memotong telinga mereka kerana bimbang anak-anak berasa malu dan takut dianggap ketinggalan zaman.

Sementara itu, generasi baru kini sudah tidak mahu lagi meneruskan tradisi ini kerana prosesnya yang menyakitkan dan penjagaan yang rumit.

Tambahan tidak ramai wanita Orang Ulu sekarang mahir melakukan kerja menindik kecuali yang berada jauh di kawasan hulu.

Ramai ibu bapa tidak tergamak melihat telinga bayi perempuan mereka dikepit menggunakan buluh.

Namun dengan teknologi dan kemajuan perubatan, tradisi telinga panjang ini lebih mudah kerana mereka tidak perlu menanggung kesakitan dengan adanya ubat pelali dan penahan sakit. – Utusan Malaysia

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang 0 13959

Wanita trauma dirogol, liwat dan dicederakan akibat hutang

JOHOR BAHRU: Seorang wanita trauma apabila dirogol, diliwat dan dicederakan temannya sendiri disyaki berikutan pertikaian mengenai hutang, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, mangsa dibawa ke rumah rakannya.

“Kejadian ini membabitkan seorang suspek lelaki dan dua suspek wanita yang juga rakan mangsa. – Berita Harian

Spread the news

Lebih 10 rumah dinaiki air 0 13123

Lebih 10 rumah dinaiki air

KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar selain hujan berterusan di sekitar daerah ini semalam menyebabkan lebih 10 rumah penduduk di Kampung Losong Haji Mohd, di sini dinaiki air, malam tadi.

Penduduk yang ditemui di kampung berkenaan memaklumkan air mula naik kira-kira jam 9.30 malam.

Tinjauan NSTP mendapati, beberapa rumah yang terletak berhampiran sungai dinaiki air sehingga paras paha. – Berita Harian

Spread the news