BINTULU: Seorang wanita melahirkan bayi perempuan di tandas sebuah restoran di pusat bandar di sini, semalam.Satu video berdurasi lebih empat minit turut tular menerusi WhatsApp dan media sosial lain.
Video itu menunjukkan dua wanita lain membantu menenangkan wanita terbabit di tangga sambil menunggu ketibaan ambulans.
Wanita terbabit turut meminta gunting untuk memotong tali pusat bayinya, namun dua wanita berkenaan memujuknya agar tidak melakukan tindakan yang boleh membahayakan bayi dan dirinya sendiri.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut.
Katanya, polis menerima panggilan kecemasan daripada pihak hospital sekitar jam 11.40 pagi bahawa seorang wanita telah melahirkan bayi di tandas sebuah restoran di Bintulu.
Zulkipli berkata, wanita terbabit dan bayinya kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Utusan Borneo Online