SIBU: Seorang wanita warga Indonesia diberkas selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran dalam serbuan Op Noda ke sebuah bilik rumah kedai di Jalan Tan Sri di sini, hari ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu yang diketuai Inspektor Hairul Hussin membuat tangkapan ke atas wanita, 38, yang berasal dari Pemalang, Indonesia sekitar pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, polis turut merampas wang tunai RM70, dipercayai hasil kegiatan pelacuran.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Stanley menambah, polis turut menangkap seorang penganggur lelaki, 36, berasal dari Kanowit untuk dijadikan saksi kes.”Suspek telah dimasukkan ke dalam lokap untuk tindakan lanjut,” tambah Stanley. – Utusan Borneo Online