GARDEN CITY: Seorang wanita berusia 27 tahun ditahan polis selepas menyerbu sebuah restoran McDonald menggunakan selaras senapang gara-gara diberikan hidangan kentang goreng sejuk, lapor media tempatan.
Akhbar WTOC di Georgia yang memetik pengurus restoran berkata, Lilian Tarver memesan kentang goreng dan kemudian datang semula ke restoran itu sambil mengadu makanannya sudah sejuk.
“Dia mengambil minuman dan melemparkan kepada saya sebelum tiba-tiba pergi ke belakang kaunter,” kata Lynn Watson, seorang pekerja di restoran dipetik akhbar itu.
ADVERTISEMENT
Katanya, wanita itu kemudian berpatah balik ke kereta sebelum kembali semula membawa senapang.
“Dia melepaskan sedas tembakan sebelum meninggalkan restoran makanan segera selepas wangnya dikembalikan. Tiada siapa cedera dalam insiden itu,” tambahnya.
Jurucakap jabatan siasatan jenayah Garden City, Detektif Roberto Rodriguez berkata, setibanya anggota polis di tempat kejadian, mereka melihat suspek melarikan diri dengan menggunakan kereta Nissan Altima berwarna hitam.
“Pegawai kemudian mengejar kereta itu yang enggan berhenti selepas diarahkan berbuat demikian.
“Dia berjaya ditahan tidak jauh daripada lokasi kejadian” katanya.-Agensi