KUCHING: Adakah pengenalan cukai jualan terhadap produk-produk petroleum akan memberi kesan terhadap pengguna dan industri di Sarawak?
Mungkin warga Sarawak akan membayar lebih susulan cukai ini? Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen mahu penjelasan daripada kerajaan Sarawak apabila cukai lima peratus dikenakan pada 1 Januari depan.
Beliau juga mempersoalkan adakah sebelum dibentangkan menerusi Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) pada Isnin lepas, kerajaan Sarawak telah menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesannya?
Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam berpendapat cukai berkenaan akan memberi kesan terhadap sistem ekonomi, pengguna, pengangkutan dan pertanian.
Cukai tersebut menurutnya, akan menyebabkan kos pengeluaran petroleum meningkat.
“Mungkin warga Sarawak akan membayar lebih susulan pengenalan cukai ini,” katanya yang memberi contoh cukai jualan dikenakan terhadap pembelian loteri di Sarawak sebanyak 10 peratus.
Ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2019, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cukai baharu itu dijangka menjana hasil RM3.9 bilion pada tahun hadapan.
Cukai jualan itu bakal dikenakan terhadap produk petroleum yang terdiri daripada minyak mentah, gas asli, gas asli cecari, baja kimia dan gas ke produk-produk cecair. – Utusan Borneo Online