WATFORD: Kesilapan yang mengerikan daripada penjaga gol Manchester United, David de Gea membantu pasukan tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL), Watford meraih kemenangan 2-0 di Vicarage Road, di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Watford mencipta kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini dan juga kemenangan sulung di bawah pengurus, Nigel Pearson.
De Gea yang juga penjaga gol Sepanyol turut melepaskan gol mudah ketika terikat 1-1 di Everton, minggu lalu – tewas dengan rembatan Ismaila Sarr pada minit ke-50.
Sarr yang beraksi untuk Senegal kemudian memperoleh sepakan penalti yang menyaksikan Troy Deeney menggandakan jaringan buat Watford pada minit ke-54.
Pemain yang memegang rekod pembelian United, Paul Pogba tampil buat kali pertama selepas kali terakhir turun berdepan Arsenal pada 30 September lalu masuk sebagai pemain gantian di babak kedua juga gagal mengubah nasib pasukannya.
Kekalahan kelima yang dicatatkan United dalam EPL musim ini meletakkan mereka di kedudukan kelapan dengan mengumpul 25 mata selepas 18 perlawanan.
Watford pula kekal di kedudukan tercorot, namun berkongsi 12 mata dengan pasukan tangga ke-19 Norwich City. – REUTERS