100 hari pemerintahan PH pacukan keyakinan, legakan rakyat – Tun M 0 5537

KUALA LUMPUR: Dua hari lagi, genaplah 100 hari Malaysia diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pastinya ramai yang menanti untuk melihat sama ada kerajaan dapat menunaikan 10 janji utama dalam manifesto Buku Harapan, yang ditampilkan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sepanjang 100 hari pertama pemerintahan era Malaysia Baharu.

Antara janji utama PH, yang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah, dalam manifesto itu adalah:

*.Menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.

*.Mengembalikan semula subsidi bahan bakar secara bersasar dengan menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.

*.Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

*.Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah.

*.Menyamaratakan gaji minimum di seluruh negara dan memulaka prosesmeningkatkan gaji minimum.

*.Menangguhkan pembayaran semula pinjaman PTPTN untuk peminjam bergaji kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

*.Menyiasat skandal membabitkan 1MDB, Felda, Mara dan Lembaga Tabung Haji serta merombak semula struktur kepimpinan organisasi berkenaan.

*.Mengembalikan status Sabah dan Sarawak dengan menubuhkan pasukan bertindak untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

*.Memperkenal Skim Peduli Sihat bagi meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan rakyat.

*.Mengkaji  semula projek mega yang diberikan kepada negara asing.Daripada 10 janji berkenaan, yang paling mendapat perhatian ialah tentang pemansuhan GST, menstabilkan bahan api, pemberian caruman KWSP untuk suri rumah, penangguhan bayaran PTPTN  dan siasatan terhadap 1MDB.

Pada persidangan Dewan Rakyat bulan lepas, Dr Mahathir berkata kerajaan tetap berpegang kepada janji-janji manifesto PH dan komited untuk merealisasikannya.

Namun, tumpuan kerajaan bukan sekadar melaksanakan janji-janji berkenaan malah turut berusaha untuk memperbaiki semula pentadbiran kerajaan.

“Dalam masa 100 hari ini, banyak kerja yang perlu dilaksanakan kerajaan…yang diutamakan ialah tindakan membersihkan kerajaan daripada kerosakan hasil daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa yang melanda jentera kerajaan terdahulu,” kata Dr Mahathir.

KOTA Janji Antara janji awal yang ditunaikan kerajaan ialah pemansuhan GST dan mengekalkan harga petrol, yang diputuskan pada mesyuarat pertama Kabinet dipengerusikan Dr Mahathir pada23 Mei lepas.

Sebelum Rang Undang-undang Pemansuhan GST diluluskan Dewan Rakyat pada 8 Ogos, kerajaan mengenakan GST pada kadar sifar peratus selain memberi tempoh tiga bulan tanpa cukai kepada rakyat mulai Jun hingga Ogos sebelum melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September ini.

Tempoh tiga bulan tanpa cukai sememangnya memberi kelegaan kepada rakyat kerana mereka mempunyai lebihan wang untuk berbelanja.

Rakyat juga lega apabila harga petrol dikekalkan dengan RON95 berharga RM2.20 seliter, RON97 (RM2.65) dan diesel (RM2.18), berbanding sistem apungan kerajaan terdahulu yang menetapkan harga bahan api secara mingguan susulan penghapusan subsidi minyak.

Selain itu golongan muda juga tidak dilupakan apabila kerajaan bertindak membatalkan senarai hitam Jabatan Imigresen terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang membawa senyuman kepada 433,000 peminjam yang masih belum melunaskan pinjaman mereka.

Kementerian Pendidikan juga membenarkan peminjam yang bergaji bawah RM4,000 sebulan menangguh bayaran dengan syarat mereka perlu mengemaskini maklumat pendapatan sehingga penghujung Julai.

Golongan hawa juga bakal menikmati manfaat menerusi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah yang bermula minggu depan, dengan kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi menjayakan fasapertama Program Sukarela Insentif SURI (SURI) itu.

Seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima insentif menerusi SURI, yang dilaksanakan dalam tiga fasa yang menyasarka suri rumah, Ketua Isi Rumah (KIR), ibu tunggal, balu dan wanita bujang.

Fasa pertama bermula 15 Ogos ini menyaksikan kerajaan menyumbang RM40 sebulan bagi setiap caruman sukarela dengan jumlah minimum RM5 ke akaun KWSP manakala bagi fasa kedua, yang dijangka bermula tahun depan, kerajaan akan meningkatkan sumbangan kepada RM50 dengan RM10 daripadanya disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Fasa ketiga SURI, yang dijangka pada awal 2020, pula melibatkan 2 peratus sumbangan KWSP suami dimasukkan ke akaun isteri.

Dan, yang paling mendapat perhatian ramai ialah siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menyaksikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pada 4 Julai lepas, didakwa bagi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan antara 24 dan 29 Dis 2014.

Pada 8 Ogos pula, Najib didakwa pula bagi tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd dalam dua akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group disini antara Dis 2014 dan 10 Feb 2015. Najib, 65, mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

KEHENDAK RAKYAT Mengulas senario yang berlaku itu, Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)  Dr. Syed Agil Alsagoff berkata gelombang  rakyat yang berlaku pada PRU14 menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan besardan drastik terhadap sistem politik, sosialdan ekonomi negara.

Malah, katanya, kerajaan dilihat dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kewibawaan kerajaan menjalankan sistem pemerintahan dengan cekap, bersepadu dan telus.

“Kebebasan media dan kebebasan rakyat untuk bersuara dengan memberi pandangan dan kritikan terbuka kepada kerajaan menerusi media sosial membuktikan bahawa kerajaan Malaysia Baharu sentiasa mengambil kira suara dan kehendak mereka,” katanya.

Syed Agil berkata sejak bermulanya pemerintahan PH pada 10 Mei, kerajaan telah melakukan beberapa pendekatan dan penekanan yang menjuruskan kepada penambahbaikan kualiti hidup rakyat.

“Penumpuan kerajaan dalam beberapa sektor kritikal seperti ekonomi, pelaburan dan pendidikan sememangnya memberi kesan terhadap sosioekonomi rakyat selain langkah memperkasakan bidang-bidang ekonomi bagi memastikan kestabilan politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa bukan mudah bagi kerajaan untuk melakukan perubahan dalam masa 100 hari kerana banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum ia dilaksanakan.

Menurutnya janji-janji yang tidak dapat ditunaikan akibat faktor teknikal seharusnya diterjemahkan dengan memperkenalkan dasar-dasar baharu yang lebih pragmatik dan boleh diterima oleh rakyat.

“Isu-isu berkaitan Perlembagaan negara juga harus ditangani dengan adil dan saksama, bukannya kerana terikut dengan desakan pihak minoriti atau badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Saya percaya sekiranya kerajaan mengamalkan sikap berhati-hati dalam menangani isu-isu yang sensitif atau memberi sentimen kepada rakyat, ia akan memberi kesan positif kepada rakyat untuk memberi sokongan dan mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia Baharu.

“Apa yang penting ialah kerajaan perlulah mengekalkan momentum persepaduan semua kaum berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih berdinamik, bertoleransi antara semua kaum,”katanya.

HALA TUJU Ternyata, tempoh 100 hari kerajaan PH bukanlah sekadar waktu untuk mengotakan janji manifesto semata-mata tetapi apa yang lebih utama adalah menjadi kesempatan bagi kerajaan melakar hala tuju masa depan negara walaupun perlu berdepan pelbagai cabaran.

Ini termasuklah  keperluan meneliti semula dasar-dasar kerajaan terdahulu demi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara walaupun ia memakan masa untuk direalisasikan.

Namun, apa yang penting, barisan kerajaan PH telah memaparkan kesungguhan untuk menunaikan janji dan menjayakan rancangan Buku Harapan yang telah dibentangkannya kepada rakyat.Beberapa janji sudahpun dikota.

Diharapkan yang lain menyusul segera.Kesungguhan memperjuangkan kepentingan rakyat inilah yang pada akhirnya menjadi teras untuk mereka menilai keupayaan dan kesungguhan kerajaan bagi tempoh yang bakal melangkaui 100 hari ini. – BERNAMA

Spread the news
Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Pelitup muka bukan sisa domestik 0 13190

Pelitup muka bukan sisa domestik

CABARAN pandemik COVID-19 belum tamat. Sehingga kini, lebih 51 juta penduduk dunia dijangkiti virus dengan lebih 1.27 juta kematian.

Bagi membendung penularan, kita sentiasa diingatkan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Ini termasuk mengamalkan penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan, mengelak tempat sesak dan memakai pelitup muka.

Sememangnya SOP perlu dibudayakan sehingga menjadi kebiasaan baharu. Bagaimanapun, amalan pemakaian pelitup muka menjadi perhatian dan kebimbangan aktivis alam sekitar serta penyelidik.

Sebelum ini, pemakaian pelitup muka terutama daripada jenis surgikal hanya diamalkan petugas kesihatan di hospital dan klinik. Ia SOP biasa bagi mengelak jangkitan dengan pesakit dirawat. – Berita Harian

Spread the news

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱 0 8104

Besarnya ‘sang bedal’ 😱😱😱

Limbang: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang memindahkan buaya seberat 800 kilogram sepanjang lima meter yang ditangkap di parit di Taman Perumahan St Edmund Limbang, di sini, semalam, ke kawasan selamat pagi hari ini.

BBP Limbang dalam kenyataannya berkata, sekitar 11 malam, reptilia itu ditemukan tersesat di dalam parit di kawasan perumahan itu menyebabkan kegelisahan penduduk di situ.

Justeru, katanya, sepasukan bomba dikerah ke lokasi membantu bagi menangkap serta mengikat buaya berkenaan di parit berdekatan kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini, bomba dengan bantuan Sarawak Forestry Corporation (SFC) ke lokasi menjalankan khidmat khas pada 8.25 pagi untuk memindahkan buaya itu.

“Pasukan bomba dengan bantuan tujuh anggota SFC mengambil masa hampir satu jam mengangkat buaya tembaga itu ke darat dengan menggunakanΒ forklift,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, buaya diletakkan dalam kenderaan khas kemudiannya diserahkan kepada SFC untuk dihantar ke lokasi penyimpanan SFC di Kubong. – Harian Metro

Spread the news