KUCHING: Seramai enam lelaki berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditangkap malam tadi kerana disyaki terlibat dalam insiden merusuh di hadapan Balai Polis Batu 10, Kota Padawan sekitar jam 8.30 malam Ahad lepas.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar yang memberitahu kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk permohonan reman.
Mengulas mengenai punca kejadian, Dev memberitahu siasatan awal mendapati seorang daripada suspek tidak berpuas hati terhadap seorang lagi suspek yang tidak memberi laluan kepadanya ketika memandu.
“Dia kemudian mengekorinya sehingga ke Pasar Raya Giant, Batu 10 dan bertindak merosakkan kereta lelaki itu.
“Kedua-dua pihak bersama rakan-rakan mereka kemudian pergi ke Balai Polis Batu 10 untuk membuat laporan polis apabila kekecohan itu berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan serius yang dialami kedua-dua pihak.Siasatan dalaman berhubung kegagalan pihak polis meredakan keadaan tersebut juga sedang dijalankan.
“Video insiden ini telah tular di media sosial dan banyak komen diterima tentang kegagalan pihak polis untuk bertindak meredakan keadaan yang tercetus di hadapan balai.
“Siasatan dalaman sedang dijalankan ke atas perkara ini dan kita belum dapat mengulas lanjut sehingga siasatan dalaman selesai,” jelasnya. -Utusan Borneo Online